Jumaat, 19 Ogos 2011

Syarat Buang Sial


KUALA LUMPUR: Serah tubuh atau barang kemas. Itu pilihan diberi seorang bomoh yang kononnya pakar membuang **** dan memulihkan hubungan suami isteri pelanggannya yang semuanya wanita.

Hasil tipu dayanya, bomoh mendakwa kerabat diraja dan berpura-pura warak itu mengaut keuntungan jutaan ringgit apabila 10 pelanggan wanitanya memilih ‘kaedah rawatan’ kedua iaitu menyerahkan barang kemas.


Bomoh berusia lewat 30-an itu berasal dari Teluk Intan, Perak, namun sebahagian besar mangsanya ditemui dan ‘dirawat’ di bilik hotel sewaannya di Jalan Klang Lama di sini antara Februari lalu hingga awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata kes terbaru berlaku pada 9 Ogos lalu selepas pihaknya menerima laporan seorang wanita di kawasan Rungkup, Perak.


“Berikutan laporan itu kami menahan seorang lelaki yang dipercayai menyamar bomoh sebelum menipu mangsa dan meminta menyerahkan barang kemas.


“Hingga kini, dipercayai lebih 10 wanita di Kuala Lumpur dan Teluk Intan menjadi mangsanya selepas menyerahkan barang kemas dan wang tunai bernilai jutaan ringgit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Goh berkata, suspek kini direman untuk siasatan kes di Perak dan akan diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut.


“Pada masa sama, polis masih memburu seorang rakan suspek yang dipercayai bersubahat dengannya,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu dan usaha mencari rakan suspek giat dijalankan kerana semua barang kemas milik mangsa berada di dalam simpanan rakannya itu.


Sementara itu, seorang mangsa bomoh itu yang mahu dikenali sebagai Rohana, 35, berkata, dia mengenali bomoh berkenaan awal Jun lalu selepas diperkenalkan adiknya.


“Dalam pertemuan itu, saya terkejut apabila lelaki itu dapat ‘membaca’ segala masalah rumah tangga saya dan suami. Dia kemudian menawarkan untuk mengubati masalah saya dengan dua cara sama ada melakukan hubungan seks dengannya atau menyerahkan barang kemas.


“Saya yang tidak sanggup mengadakan hubungan seks dengannya, lalu memilih kaedah rawatan kedua iaitu menyerahkan barang kemas bernilai kira-kira RM10,000.


“Jumlah barang kemas itu dikatakan setimpal dengan masalah saya dan bomoh itu berjanji memulangkan barangan berkenaan selepas selesai berubat bersama-sama wang pengeras 25 sen,” katanya.


Rohana berkata, selepas pertemuan pertama itu, dia seperti dipukau dan tidak mampu menolak kehendak bomoh terbabit yang meminta barang kemas bagi memudahkan urusan perubatan.


“Tapi, ternyata dia menipu. Bukan saja barang kemas saya tidak dikembalikan, tetapi masalah saya dan suami juga tidak pulih, malah bertambah parah.


“Saya cuba menghubungi bomoh itu, tetapi telefonnya ditutup dan dia melarikan diri bersama barang kemas saya,” katanya.


Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Sarinah dari Teluk Intan, Perak berkata, dia kerugian barang kemas bernilai kira-kira RM66,000 selepas mendapatkan rawatan bomoh itu.


“Saya menemui bomoh itu Februari lalu selepas diperkenalkan sepupu di sebuah hotel. Bomoh itu menyatakan saya mengalami masalah dengan suami dan keluarga mentua.


“Saya terkejut kerana kata-kata itu benar sebelum bomoh itu menawarkan diri untuk mengubati masalah saya dengan syarat perlu menyerahkan barang kemas dan wang tunai setimpal dengan tahap masalah saya.


“Bomoh terbabit memberi alasan barang kemas itu perlu disimpannya bagi menambah mujarab proses perubatan yang sedang dijalankan,” katanya.


Sarinah berkata, ketika itu, dia tidak mempunyai wang dan barang kemas, lalu meminjam barang kemas kakaknya dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM66,000 untuk diserahkan kepada bomoh itu.


“Pada masa sama, bomoh itu meminta saya mencari lebih ramai wanita yang mengalami masalah rumah tangga untuk berubat dengan alasan jika ini dapat dilakukan, proses mengubat penyakit saya akan berjalan lebih lancar.


“Namun, saya mendapat tahu mengenai tembelang lelaki itu selepas semua rakan yang berubat dengan bomoh itu menemui saya pada 13 Ogos lalu dan masing-masing mendakwa kerugian wang tunai dan barang kemas selepas ditipu bomoh terbabit.


“Kami membuat laporan di Balai Polis Ampang bagi menjejaki lelaki itu yang sudah menghilangkan diri bersama barang kemas dan wang tunai bernilai jutaan ringgit milik mangsa ,” katanya.

sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/art...cle/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan