Menyedari posisi serangan yang begitu kritikal sejak sepak mula Liga Malaysia awal musim ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kini berusaha untuk meminjam pemain luar yang beraksi di posisi serangan bagi digandingkan dengan Norshahrul Idlan Talaha di bahagian jentera serangan Kelantan.
Difahamkan, salah seorang penyerang Pahang yang merupakan penjaring kedua terbanyak pasukan berkenaan dan seorang pemain Perlis kini menjadi buruan bagi memperkuatkan jentera pasukan Kelantan.
Pengurus Pasukan Azman Ibrahim berkata, pihaknya sudah menghubungi Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) untuk mendapatkan khidmat pemain pasukan tersebut secara pinjaman.
“Setakat ini kita masih menanti kelulusan daripada mereka. Saya difahamkan kelulusan tersebut hanya diberikan oleh Presiden PBNP, Yang Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang ketika ini masih berada di London.
“Pada masa yang sama kita juga berusaha untuk meminjam seorang pemain Perlis namun setakat ini kita belum mendapat kata putus daripada pemain itu sendiri. Sebelum ini kita turut mengenal pasti dua pemain Harimau Muda yang digugurkan tetapi mereka memilih untuk menyertai pasukan Selangor,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan pasukan The Red Warriors bagi menghadapi kempen Piala Malaysia, Azman berkata, pemainnya akan mula melaporkan diri bersama pasukan pada Khamis ini dan dijadualkan menjalani latihan keesokannya.
“Kecuali Mohd Farisham (Ismail), Mohd Rizal Fahmi (Ab Rosid) S Chanturu dan Mohd Shakir (Shaari) yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan bermula esok (hari ini) bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Oman pada 10 Ogos ini, yang lain akan menjalani latihan seperti biasa di bawah kendalian Datuk M Karathu.
“Khairul Fahmi (Che Mat) dan Mohd Izuan (Salahuddin) pula menyertai latihan bersama skuad Harimau Muda di Slovakia sementara penjaga gol muda, Norhadi (Ubaidillah) akan mewakili negara pada Kejohanan Sukan Universiti Dunia di Shenzen, China.
“Walaupun kita menjalani ibadah puasa namun itu tidak menghalang kita untuk membuat persiapan menghadapi kempen kali ini. Saya fikir persiapan ini penting dalam kita mengekalkan kecergasan pemain dan saya mahu semua pemain lebih fokus bagi kita mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu,” katanya.
Skuad Piala Malaysia Kelantan berlatih selepas solat terawih bermula jam 10 malam di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan