Rabu, 3 Ogos 2011

Rebut keberkatan Ramadan: MB



KOTA BHARU - Rakyat Kelantan di negeri ini tanpa mengira agama perlu mengambil keberkatan sempena bulan Ramadan untuk melakukan kebaikan.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, semua perlu memperbanyakkan keinsafan serta menolong orang yang ditimpa kesusahan dan bencana.

”Kita juga seharusnya melipatgandakan amalan kebaikan dan tolong menolong, sebelum Nabi Muhammad S.A.W menjadi nabi lagi baginda suka menolong orang,” katanya semalam.

Terdahulu beliau melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran di Kampung Chica, Kubang Kerian.

Hadir sama menziarahi keluarga tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Pembangunan Sukan, Abdul Fattah Mahmood dan Ahli Dewan Undangan Negeri Demit, Mohamad Musthapa.

Nik Aziz berkata, datang melawat tanpa menghulurkan sumbangan juga sudah memadai untuk menghiburkan hati mereka yang ditimpa masalah.

”Ini ujian Ramadan terhadap keluarga ini, jadi kita semua sama-samalah membantu kerana semua dokumen yang mustahak dan pakaian juga habis terbakar,” katanya.

Kelmarin 14 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran kira-kira tiga jam sebelum umat Islam berbuka puasa.

Lebih menyedihkan apabila ayam goreng pedas dan daging yang dimasak untuk hidangan berbuka puasa juga turut hangus dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, mangsa, Siti Azlina Muhamed berterima kasih atas kecaknaan dan keprihatinan pihak yang membantu keluarganya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan