Rabu, 17 Ogos 2011

Demi politik, Umno sanggup pertikai fatwa


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Ogos:
Umno dilihat begitu terdesak apabila sanggup mempolitikkan isu larangan bacaan al-Quran melalui pembesar suara sebelum subuh demi kelangsungan mereka kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lebih mendukacitakan menurut Mursyidul Am PAS itu, Umno juga sanggup "mencari balah" dengan mufti yang telah mengeluarkan fatwa tersebut, semata-mata kerana mahu menghentam kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP.

"Bagi saya, tidak munasabah Umno mahu ‘mencari balah’ dengan mufti dalam isu yang tidak ada kepentingan politik. Tapi nampaknya, sangkaan saya agak tersasar. Umno yang saya lihat sudah sampai saat kejatuhannya barangkali akan cuba berpaut dengan apa jua dahan untuk mengelakkannya daripada jatuh terhempas dan patah tulang," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

"Isu yang langsung tiada kaitan dengan kerajaan negeri dipolitikkan. Barangkali, jika tiba-tiba terjaga di tengah malam sekalipun, perkataan yang akan terpancul keluar ialah ‘DAP!’ Dalam isu ini, saya bukan menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang, tetapi saya menyokong pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang. Buta maklumatkah golongan ini?" soal Menteri Besar Kelantan itu lagi.

Beliau juga membidas tindakan Umno yang seolah-olah mahu menjadi juara memperjuangkan isu agama, padahal pada masa yang sama merekalah yang meruntuhkan agama.

"Saya ingin bertanya kepada Umno, sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini? Sebelum tangan menggapai ke atas, lihat dahulu lantai berpijak.

"Apabila kerajaan Melaka melanjutkan tempoh pusat hiburan beberapa bulan lepas, tidak ada sebarang suara yang menentang daripada Umno," ujarnya lagi.

Ianya juga termasuk isu judi yang benar-benar dilarang oleh Islam namun Umno katanya seperti tidak mengendahkan larangan itu.

"Di Kelantan, kami disaman oleh MCA kerana menghalang premis judi daripada beroperasi dan kes ini sedang disebut di mahkamah. Saya tertanya-tanya, di mana perwira-perwira Umno dalam isu ini? Atau tiba-tiba keris telanjang Ketuanan Melayu menjadi tumpul bila berdepan dengan rakan-rakan di dalam Barisan Nasional?," soalnya lagi.

Cara Umno persembahkan Islam salah

Mengulas lanjut, beliau berkata cara Umno mempersembahkan Islam pada hari ini, salah sehingga menggerunkan masyarakat bukan Islam sedangkan Islam itu indah dan rahmat kepada seluruh manusia.

Ia termasuklah isu bacaan al-Quran di pembesar suara sebelum solat Subuh yang bukanlah sesuatu yang diajar oleh Islam.

Menurutnya, jika ia terbukti menganggu dan ada aduan, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Negeri mengeluarkan pandangan.

Berbeza di Kelantan dengan kebanyakan masyarakatnya muslim, perkara tersebut mungkin tidak timbul sebagai satu masalah, tetapi di Pulau Pinang mungkin keadaannya berbeza.

Jika terbukti tidak mengganggu, tidaklah menjadi halangan dan ia terpulang kepada keadaan setempat dan situasi semasa masyarakat.

"Saya menyeru kepada Umno, janganlah menjadi tukang solek yang menghodohkan wajah Islam. Islam tertegak di atas hujah, bukan di atas emosi. Apa jua isu, perdebatkan dengan ilmiah bukan dengan provokasi.

"Sayangnya, saya lihat Umno sangat cenderung untuk menjadikan sesuatu isu sebagai kontoversi kerana dengan talian hayat inilah mereka bernyawa. Hakikatnya, isu perkauman dan pertembungan agama ini sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana.

"Umno mengharapkan dengan kekeruhan ini, mereka mampu muncul sebagai juara. Mereka lupa, hasil kerja tangan mereka ini bakal menjadikan suasana lebih tidak tenteram dan menjauhkan masyarakat daripada Islam," katanya.

Kenyataan Penuh Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Selagi boleh, saya tidak mahu menyemarakkan pertembungan politik sepanjang bulan Ramadhan. Saya kira waktu yang amat bernilai ini amat sesuai digunakan untuk berzikir, membaca al-Quran dan menghayati maknanya sesuai dengan kemuliaan Ramadhan. Namun, mengambil kira bahawa nama saya disebut berulang kali oleh media massa milik Umno hari ini (16 Ogos 2011), saya ringankan tangan saya untuk menulis sedikit jawapan untuk tatapan masyarakat.

Saya mengira, Umno sewajarnya tidak memainkan isu larangan bacaan al-Quran melalui pembesar suara ini kerana larangan menggunakan pembesar suara di Pulau Pinang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan tidak ada kaitan langsung dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh DAP. Bagi saya, tidak munasabah Umno mahu ‘mencari balah’ dengan Mufti dalam isu yang tidak ada kepentingan politik. Tapi nampaknya, sangkaan saya agak tersasar. Umno yang saya lihat sudah sampai saat kejatuhannya barangkali akan cuba berpaut dengan apa jua dahan untuk mengelakkannya daripada jatuh terhempas dan patah tulang. Isu yang langsung tiada kaitan dengan kerajaan negeri dipolitikkan. Barangkali, jika tiba-tiba terjaga di tengah malam sekalipun, perkataan yang akan terpancul keluar ialah ‘DAP!’ Dalam isu ini, saya bukan menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang, tetapi saya menyokong pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang. Buta maklumatkah golongan ini?

Isu ini sebenarnya sengaja dipolitikkan sehingga menjadi polemik. Saya ingin bertanya kepada Umno, sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini? Sebelum tangan menggapai ke atas, lihat dahulu lantai berpijak. Dasar Umno sendiri ialah kebangsaan dan sekular. Islam tidak pernah ada dalam agenda perjuangan Umno. Justeru, apabila kerajaan Melaka melanjutkan tempoh pusat hiburan beberapa bulan lepas, tidak ada sebarang suara yang menentang daripada Umno. Ada pula yang sibuk mahu menggantikan PAS sebagai pembela Islam. Saya kira, ini sebenarnya satu pengiktirafan terhadap PAS yang telah berjuang sekian lama membela Islam. Barangkali pihak ini ‘tidak tergamak’ untuk menggantikan Umno untuk memperjuangkan Islam. Masakan tidak, bila pula pernah Umno berjuang untuk Islam?

Sesungguhnya Islam itu indah kerana ia diakui sendiri oleh Allah SWT sebagai rahmat. Tetapi sayangnya cara Umno mempersembahkan Islam pada hari ini, saya lihat ia menggerunkan masyarakat bukan Islam. Apa yang tidak diajar oleh Islam, itulah yang diperbesarkan oleh Umno. Manakala apa yang benar-benar termaktub ditidakkan. Bacaan al-Quran di pembesar suara sebelum solat Subuh bukanlah sesuatu yang diajar oleh Islam, jika ia terbukti menganggu dan ada aduan, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Negeri mengeluarkan pandangan. Di Kelantan dengan kebanyakan masyarakatnya muslim mungkin tidak mengira ini sebagai satu masalah, tetapi di Pulau Pinang mungkin keadaannya berbeza. Rasulullah SAW sendiri pernah melarang seorang sahabat yang mengangkat suara di dalam masjid untuk berzikir sehingga mengganggu orang lain. Ini disebut di dalam sebuah hadis :

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ أَوْ قَالَ فِي الصَّلَاةِ

Yang bermaksud : “"Pernah Nabi Muhammad SAW beriktikaf dalam masjid, lalu baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran atau solat) lalu baginda mengangkat tirai dan bersabda: "Ketahuilah sesungguhnya setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan sebahagian kamu mengangkat suara melebihi sebahagian yang lain dalam bacaan, atau sabdanya: dalam solat". – Riwayat Abu Daud.

Bahkan ini pernah ditegur oleh Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam kitabnya Talbis Iblis. Katanya :

وقد لبس إبليس على قوم من القراء فهم يقرأون القرآن في منارة المسجد بالليل بالأصوات المجتمعة المرتفعة الجزء والجزأين فيجمعون بين أذى الناس في منعهم من النوم وبين التعرض للرياء. ومنهم من يقرأ في مسجده وقت الأذان لأنه حين اجتماع الناس في المسجد.

Yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Iblis telah mengaburi terhadap satu golongan dari pembaca al-Quran di mana mereka membaca al-Quran di mimbar-mimbar masjid pada waktu malam dengan suara beramai-ramai yang kuat samada satu juzuk atau dua juzuk lalu mereka telah mengumpulkan di antara menyakiti manusia dengan menghalang mereka daripada tidur dan mendedahkan diri kepada riya’. Dan ada di antara mereka yang membaca al-Quran di masjidnya pada waktu azan kerana pada waktu itulah manusia berkumpul di masjid…” – halaman 3, kitab Talbis Iblis, cetakan pertama 1405H terbitan Darul Kitab al-Arabi, Beirut.

Tidaklah saya ingin memutlakkan pandangan Ibnu Qayyim ini agar diterima semua pihak. Tetapi sekurang-kurangnya sudah ada pandangan dari ulama terdahulu yang menegah untuk dibaca al-Quran dengan kuat di masjid kerana dibimbangi mengganggu tidur masyarakat sekitar. Jika terbukti tidak mengganggu, tidaklah menjadi halangan. Justeru, ia terpulang kepada keadaan setempat dan situasi semasa masyarakat.

Hairannya, judi yang benar-benar dilarang oleh Islam pula nampaknya tidak diendahkan pula oleh Umno. Di Kelantan, kami disaman oleh MCA kerana menghalang premis judi daripada beroperasi dan kes ini sedang disebut di mahkamah. Saya tertanya-tanya, di mana perwira-perwira Umno dalam isu ini? Atau tiba-tiba keris telanjang Ketuanan Melayu menjadi tumpul bila berdepan dengan rakan-rakan di dalam Barisan Nasional?

Saya menyeru kepada Umno, janganlah menjadi tukang solek yang menghodohkan wajah Islam. Islam tertegak di atas hujah, bukan di atas emosi. Apa jua isu, perdebatkan dengan ilmiah bukan dengan provokasi. Sayangnya, saya lihat Umno sangat cenderung untuk menjadikan sesuatu isu sebagai kontoversi kerana dengan talian hayat inilah mereka bernyawa. Hakikatnya, isu perkauman dan pertembungan agama ini sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana. Umno mengharapkan dengan kekeruhan ini, mereka mampu muncul sebagai juara. Mereka lupa, hasil kerja tangan mereka ini bakal menjadikan suasana lebih tidak tenteram dan menjauhkan masyarakat daripada Islam.

Ingatlah, dalam mengendalikan sebarang isu, ambillah pertimbangan kemuliaan bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang. Jangan dibiarkan lidah berbicara sesuatu yang sudah diketahui pembohongannya kerana dibimbangi ia hanya menggandakan dosa di sisi Allah SWT kerana menodai kesucian Ramadhan. Dan biarlah ia juga boleh menjadi jawapan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.



YAB DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 16 Ramadhan 1432H / 16 Ogos 2011M

Tiada ulasan:

Catat Ulasan