Seandainya seseorang beruzlah didorong sifat takabbur, hingga tidak bergaul dengan masyarakat, tidak lain disebabkan kejahilan dirinya dalam beberapa sudut. Antaranya; jahil memahami bahawa sifat tawaduk dan pergaulan dalam masyarakat, tidak akan mengurangkan taraf dirinya. Kelebihan disebabkan keilmuan agamanya yang mantap. Antara kejahilan lagi; ialah orang yang berusaha sedaya upaya mencari keredhaan manusia, agar dirinya dipandang mulia. Inilah manusia yang terpedaya pujuk rayu syaitan.
Antara kesilapan lagi yang kadang-kadang difahami oleh kita juga ialah ialah istilah - ghuraba' - di mana ada yang mendalaminya sebagai beruzlah dari masyarakat yang semakin pincang.
Jika mereka sebenarnya mengenali Allah Taala, sepatutnya mereka sedar bahawa manusia atau makhluk tidak memberi manfaat walau sedikit pun di hadapan Allah. Oleh itu, mencari redha dan sanjungan manusia suatu usaha sia-sia belaka, tidak mungkin menemuinya hingga bila pun. Kerana memang tabiat manusia bersetuju dalam suatu perkara, menyangkal perkara lain yang bercanggah dengan pendiriannya.
Daripada buang masa untuk perkara sia-sia, lebih baik tumpu sepenuh kesungguhan terhadap amalan murni supaya Allah SWT meredhainya. Sebagaimana doa Rasulullah SAW yang bermaksud, "WahaiTuhan, jadikan aku supaya Engkau kasihi, agar manusia rasa gerun atau hebat kepadaku. Aku memandang hina terhadap diriku sendiri".
Oleh itu keredhaan Allah Taala lebih mustahak dicari. Hanya dengan keredhaan-Nya boleh menyelamatkan manusia daripada azab akhirat. Justeru itu Imam Syafie RA pernah berkata kepada sahabatnya bernama Yunus yang bemaksud, "Aku hendak beri suatu nasihat padamu wahai Yunus; sesungguhnya tiada jalan selamat di dunia ini daripada kecil hati manusia. Daripada perhabis waktu Untuk cari keredhaan manusia, lebih baik lakukan apa saja kebaikan supaya dapat keredhaan Allah Taala".
Mencari keredhaan manusia dianggap membuang masa, sesuatu tidak mungkin tercapai. Lebih berfaedah jika masa tersebut digunakan untuk mencari keredaan Allah. Berkata Imam Al Ghazali RAH, "Jika demikian, sesiapa yang kurung diri di rumah (uzlah) supaya manusia anggap dirinya hebat, orang itu berada dalam bala yang segera sebelum datangnya bala akhirat. Sedangkan azab akhirat lebih dahsyat lagi jika mereka mengetahui".
Kesimpulannya, tidak sayugia seseorang beruzlah itu kecuali bagi mereka yang menggunakan usianya untuk mendalami ilmu. Kerana sekiranya mereka bercampur gaul dengn orang ramai, masanya yang berharga akan luput. Sedangkan menuntut ilmu memerlukan masa yang banyak.
Tidak digalak beruzlah kecuali kepada orang yang memerlukan masa untuk meneliti pelbagai kitab rujukkan bagi memahami ilmu. Selain itu lebih utama bergaul dalam masyarakat, kerana datangkan faedah kepada diri dan masyarakat. Demikianlah beberapa hujah menunjukkan kelebihan bercampur gaul dalam masyarakat, berbanding dengan hidup mengasing diri (uzlah) untuk keselamatan diri di dunia dan akhirat.
Kini dijelaskan pula mengenai pengalaman yang diperolehi hasil bergaul dengan makhluk, juga kedudukan hal ehwal manusia dalam masyarakat. Orang berilmu jika tidak bercampur gaul dalam masyarakat, pastilah kehidupannya tiada pengalaman. Sepaling baik pengalaman hanya yang wujud di hadapannya.
Apabila hendak laksanakan bersama manusia mereka akan bertemu kegagalan. Lantaran tiada pengalaman dengan orang-orang tertentu dalam perkara yang dihadapinya. Pengalaman amat berguna bagi manusia yang hidup dalam suasana berubah-ubah. Dunia dan perangai manusia juga berubah.
Hidup dalam masyarakat manusia akan hadapi pergeseran, seperti bertikam lidah disebabkan selisih faham. Melalui situasi tersebut muncul suatu pengajaran baru bagi manusia, dalam bentuk pengalaman hidup.
Akal yang bijak kurniaan Tuhan, tidak memadai untuk memahami keadaan, maslahah agama serta dunia amat penting dalam kehidupan insan. Sama ada hidup sebagai individu seorang diri, apatah lagi sebagai pendakwah yang menunjuk jalan kepada manusia, amat mustahak memahami sesuatu maslahat. Lebih-lebih lagi apabila terbabit dengan siasah Islam. Terlalu mustahak mencari pengalaman dalam hidup, agar tahu bagaimana hendak perjuangkan agama agar selamat di dunia hingga akhirat.
Tidak memadai hanya mengajar jika tidak amalkannya. Justeru itu bagi mereka yang tidak melibatkan diri dalam siasah,kadangkala tidak dapat menjelaskannya sekiranya ada pertanyaan menegenai siasah. Tiada ulama sebenar yang tidak tahu menjelaskan hal ehwal siasah Islam, persoalan siasah adalah perkara penting dalam Islam telah dijelaskan oleh para nabi dan rasul. Ulama menjadi pewaris para Nabi.
Para Nabi adalah khazanah Allah SWT di muka bumi, di dadanya perbendaharan tempat tersimpan ilmu Tuhan. Setelah wafatnya seluruh para Nabi tersebut, penggantinya ialah ulama, sama ada bernama tok guru atau ustaz dan sebagainya. Jika golongan tersebut gagal menyelesaikan persoalan siasah yang dikemuka oleh khalayak, bererti mereka gagal berperanan sebagai pewaris para Nabi. Kalangan ulama dan ilmuan Islam wajar merasa bangga menjadi pewaris para Nabi. Sebaliknya merasa amat dukacita sebagai pewaris para Nabi, kiranya gagal menjelaskan dan menangani masalah siasah Islam. - TARBAWI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan