Khamis, 31 Disember 2009

SU Akhbar Nik Aziz minta Berita Harian mohon maaf


KOTA BHARU, 30 Dis: Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Saiba Yaacob meminta akhbar Berita Harian memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan kenyataan yang dianggap tidak tepat mengenai dirinya.



Malah katanya, wartawan akhbar berkenaan tidak pernah menemuinya sebelum menyiarkan kenyataan dianggap panjang lebar berkaitan dirinya.

“Beberapa laporan yang terdapat dalam akhbar berkenaan semalam bukan sahaja tidak betul, bahkan tidak pernah menghubungi saya untuk mendapatkan sebarang penjelasan.

“Laporan itu kata saya merancang untuk mengajar di Kias tak betul, nak melanjutkan pengajian di Kuis pun tak betul, sebaliknya saya akan menyambung pengajian di peringkat PhD di UM,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Akhbar terbabit semalam menyebut Mohd Saiba sudah lama merancang menjadi pensyarah di Kias sambil melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Kuis.

Laporan tersebut juga memberitahu beberapa pihak mempersoalkan Setiausaha Politik Menteri Besar, Annual Bakri Harun kerana gagal memberi nasihat yang betul kepada Menteri Besar.

Oleh yang demikian, Mohd Saiba memberi peluang akhbar berkenaan memohon maaf sebelum tindakan lanjut diambil memandangkan berita yang disiar tidak mendapat kebenarannya dan turut dilibat nama Anual Bakri.

“Jadi bagi membersihkan nama saya dengan laporan yang agak kurang manis, ada baiknya akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka sebelum tindakan lanjut diambil,” ujarnya.

Katanya begitu kecewa dan terkejut dengan laporan tersebut dengan memperincikan maklumat mengenainya.

Beliau juga berkata, ekoran laporan tersebut menyebabkan beliau bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.

Katanya juga beliau mengambil keputusan tidak menyambungkan kontrak kerana ingin melanjutkan pengajiannya di peringkat PhD di Jabatan Syariah di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Siasah Syariah.

“Pada masa yang sama saya akan bertugas sebagai ahli akademi seperti jawatan asal sebelum ini di sebuah kolej di sini,” tambahnya.

Saiba sebelum ini pernah bertugas sebagai pembantu pensyarah di UM selama empat tahun sehingga 2000, kemudiannya mengajar di Kolej Darul Quran di Terengganu akhir 2000 hingga Januari 2002.

Selepas itu dilantik Setiausaha Akhbar Menteri Besar pada 3 Febuari 2002 dan berakhir Febuari 2010.

Beliau merupakan Setiausaha Akhbar yang keempat dan paling lama berkhidmat iaitu selama lapan tahun.

Semalam Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengesahkan kedua-dua setiausahanya itu akan tamat tempoh perkhidmatan, di mana Anual mohon berhenti dan Saiba tamat tempoh kontrak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan