KUALA LUMPUR, 10 Dis: DAP mendesak para pemimpin MCA dan GERAKAN menyatakan pendirian berkaitan tindakan Umno memberi semula hak keahlian kepada Datuk Ahmad Ismail.
Bagi DAP, Ahmad yang pernah digantung keahlian kerana menghina kaum Cina tempatan sebagai pendang perlu didakwa secara adil dan bebas.
Ekoran itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur M. Kula Segaran (DAP) mendesak Pengerusi BN Pulau Pinang Tan Sri Koh Tsu Koon menyatakan pendirian berhubung keputusan Umno memaafkan Ahmad.
"Saya nak tanya kepada Pengerusi BN Pulau Pinang Tan Sri Koh Tsu Koon dan MCA, apakah pendirian mereka apabila Umno beri semula keahlian Umno kepada Datuk Ahmad," soalnya.
Beliau juga menyifatkan Umno sekarang sebagai 'parti dua ringgit' kerana tidak tegas menghukum Ahmad.
Ujarnya lagi, tindakan Umno menggantung keahlian Ahmad September tahun lalu sekadar sandiwara Umno mententeramkan emosi parti-parti perkauman yang lain dalam BN.
Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Kong pula meminta Koh menjelaskan niat sebenar disebalik kenyataan bekas Presiden GERAKAN Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik.
"Keng Yaik menyeru kepada ahli Gerakan supaya jangan takut menyuarakan isu Ketuanan Melayu, (sebaliknya) kalau ditangkap kene bersuara (seperti Ahmad)," jelasnya.
"Saya seru sekali lagi (kepada) Koh jelaskan apakah masej yang cuba disampaikan Keng Yaik."
Dipercayai kenyataan Keng Yaik itu sebagai sinikal kepada Koh sendiri kerana tidak berani mempersoal keputusan Umno ke atas Ahmad, walaupun beliau menjawat jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang.
Disebabkan keistimewaan yang diberikan kepada Ahmad, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mempersoal kejujuran Umno dalam merealisasikan 1Malaysia.
"Adakah Umno masih dalamzaman Ketuanan Melayu atau sudah bersedia menerima konsep 1Malaysia yang menghargai keberadaan semua kaum...atau ia (1Malaysia) adalah slogan kosong mengelirukan rakyat," jelasnya.
Jumaat lepas, dilaporkan Ahmad mendapat semula keahlian sebagai ahli Umno.
Dipercayai beliau akan kembali menyandang jawatan Pengerusi Umno Bahagian Bukit Bendera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan