Rabu, 9 Disember 2009

Malaysia raih semula keyakinan



VIENTIANE – Skuad bola sepak kebangsaan meraih tiga mata yang diperlukan dalam misi untuk ke separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA apabila menang 4-0 ke atas Kemboja di sini, semalam.

Bangkit pada separuh masa kedua memastikan kemenangan besar buat skuad K. Rajagobal selepas dikekang lawan dalam babak pertama.


Barisan serangan yang tumpul dan jarang melakukan gerakan menarik, menyebabkan skuad negara terpaksa menunggu sehingga minit ke-35 untuk menghasilkan gol pembukaan menerusi Abdul Manaf Mamat

Jaringan itu menjadi detik kebangkitan buat Malaysia apabila giliran Norshahrul Idlan Talaha menokok gol kedua pada minit ke-76.

S. Kunanlan meledak gol ketiga pada minit ke-81 untuk memastikan Malaysia terus selesa sebelum Shafiq Rahim menamatkan permainan menerusi jaringan penalti pada minit ke-85.

Kemenangan 4-0 itu merupakan bekalan terbaik untuk bertemu Thailand pada Jumaat ini yang mana skuad kebangsaan perlu menang untuk layak ke separuh akhir.

Rajagobal yang lega dengan kemenangan tersebut berkata, kejayaan membenam Kemboja melonjakkan semangat pemain setelah kalah 1-3 kepada Vietnam, kelmarin.

“Kita telah mendapat bekalan terbaik apabila bertemu Thailand nanti.

“Jadi, jika kita mahu ke separuh akhir, inilah peluangnya dengan mengalahkan Thailand.

“Memang kita akui Thailand sebuah pasukan yang baik, tetapi kemenangan ke atas Kemboja ini membuktikan kita tidak kurang hebatnya berbanding mereka,” katanya.

Perlawanan yang dijangka mudah semalam, sebaliknya hampir bertukar detik malang apabila Kemboja mempamerkan permainan bertenaga dan acap kali mencemaskan benteng pertahanan skuad negara pada babak pertama.

Barisan serangan skuad negara kurang bermaya akibat ketiadaan Zaquan Adha Abdul Razak yang digantung kerana menerima kad merah ketika kalah kepada Vietnam.

Gandingan Norshahrul Idlan Talaha, Abdul Manaf dan S. Kunanlan gagal memberi tekanan serius kepada benteng pertahanan lawan.

Jaringan Abdul Manaf mencetuskan sedikit peningkatan mutu permainan apabila dia mudah menewaskan penjaga gol Kemboja, Samrith Seiha selepas mendapat hantaran jauh dari bahagian pertahanan.

Asakan bertali arus Kemboja hampir membawa padah kepada skuad kebangsaan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-44.

Pemain Kemboja, Kouch Sokumpheak berjaya meletakkan bola ke gawang hasil penalti yang mengelirukan Mohd. Sharbinee Allawee.

Namun, pengadil dari Maldives, Saleem Ali mengarahkan Sokumpheak melakukan sekali lagi sepakan penalti dan Mohd. Sharbinee tidak melakukan kesilapan apabila tepat mengagak sepakan penalti kedua.

Mohd. Sharbinee sekali lagi menyelamatkan gawang daripada dibolosi apabila kemas menepis sepakan bebas pemain lawan pada minit ke-64. – Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan