Selasa, 22 Disember 2009

Bidalan Melayu Lama

Dipetik Dari: Bjue.blogspot

1. Mendaki bukit sungai abu
Tiba di atas terlelap pula
Bagaimana hati tak terharu
Nampak janda dah elok pula

Seseorang yang telah menceraikan isterinya, apabila melihat keelokan jandanya ingin merujuk kembali


2. Berserah berkerlipan
Beruja berpegang ekor
Berpesan berturut
Bertaroh berpemalami

Orang yang tidak percaya akan seseorang yang disuruh buat kerja diikuti kerjanya


3. Disuruh pergi
Dipanggil datang
Berkerja kerana perintah
Berhenti kerana tegah

Orang yang patuh taat menurut perintah


4. Mengaji daripada alif
Membilang daripada esa
Sakit bermula, mati bersebab
Hujah berpokok, kata berpangkal

Seseorang yang buat kerja ikut peraturan


5. Berdiri sama tinggi
Duduk sama rendah
Bersukat sama paras
Bertimbang sama berat

Dua orang yang sama taraf, elok budi perkerti, berilmu


6. Jika sengaja bercekak pinggang
Tinggallah rebana, beralih ke gelanggang
Tak tahu pipit tak tahu enggang
Yang rapat kelak menjadi renggang

Seseorang yang sengaja mencari perbalahan, pergaduhan di antara rakan taulan dan akhirnya mendapat kesan buruk


7. Ke gunung emas pasir baiduri
Ke padang zamrud habis diedari
Terbang bangau sepanjang hari
Ke tasek juga akhirnya dicari

Walau pun berdagang jauh mencari ilmu, kekayaan, pengalaman sampai masanya balik juga ke negeri asalnya, kekampong halamannya


8. Menunduk kepala menghadap raja
Bertentang muka menghadap kawan
Bercekak pinggang menghadap lawan

Seseorang yang tahu tertib, peraturan, keperluan majlis memasuki majlis dengan penoh tertib


9. Merajok kepada yang kasih
Manja kepada yang sayang
Meminta kepada yang ada
Berkaul kepada yang keramat

Perbuatan yang menjadi kepada yang sesuai tempatnya atau orangnya


10. Mestika embun tinggi harganya
Dikulum anak raja naga
Tak termasok pada sangka
Mata tidor bantal berjaga

Seseorang perempuan berketurunan mulia berkahwin dengan keturunan yang sama tetapi membuat kejahatan apabila suami tiada

11. Minum serasa duri
Makan serasa lilin
Tidor tak lena
Mandi tak basah

Kemusykilan yang terbuku dalam hati tiada penyelesaian. Sesuatu yang sukar untuk diambil keputusan atau diselesaikan


12. Peria,
Jika ditanam di atas batas sakar
dibaja dengan madu
disiram dengan manisan
diletakkan di atas tebu sekalipun
apabila masak buahnya pahit juga

Orang berketurunan jahat diberi pangkat, kemuliaan jahat juga budinya


13. Pesan dituruti
Pataroh dimalami
Berserah berkehendak hati

Seseorang memeberi kepercayaan kepada orang lain tetapi tidak sepenuhnya, masih diraguinya


14. Pipit tuli makan berhujan
Tak ditahan padi habis
Hendak dihalau kain basah

Menyerah sesuatu kerja kepada yang degil, jika dibiarkan rosak kalau ditegor tak diikuti


15. Sayang emak sayang sahaja
Sayang bapa menambah harta
Sayang saudara sama ada

Tahap kasih sayang antara emak, bapa dan saudara mara. Kasih sayang emak sama sahaja di antara anak-anaknya, kasih sayang bapa mencari harta untuk anak-anaknya dan sementara anak-anak tidak menghabiskan hartanya sementara saudara mara pula bila sama-sama berharta barulah kasih sayang wujud


16. Sehari kahwin sehari tua
Sehari beranak sehari gila

Ragam manusia, apabila berkahwin tidak lagi digelar anak muda. Apabila mendapat anak kelakuannya bermain dengan anaknya seolah-olah seperti orang gila


17. Sayangkan kain buangkan baju
kerana baju panjang lima
Sayangkan lain buangkan aku
kerana aku orang dah lama

Kiasan isteri apabila suami ingin kahwin lain dan tidak mahu dimadukan.


18. Semberip pahar hidangan ratu
Isinya sudah disisa hantu
Tidak disangka sampai begitu
Manikam boleh kehilangan mutu

Isteri orang besar menduakan suaminya


19. Sudu-sudu di tepi jalan
Dipanjat kena durinya
Disinggong kena rebasnya
Ditakek kena getahnya

Orang yang cerdik, mahir tahu sahaja membuat kerja


20. Bersunting Bunga kedudok
Berdiri tak sama tinggi
Duduk tak sama rendah

Orang mulia beristeri hina, masok majlis orang berbangsa jadi rendah tarafnya, masok majlis orang kebanyakan menjadi hina pula

Tiada ulasan:

Catat Ulasan