Sabtu, 5 Disember 2009

SPM maksimum 12 subjek


Oleh ZABRY MOHAMAD

PUTRAJAYA 4 Dis. – Kabinet bersetuju membenarkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil dua mata pelajaran tambahan, menjadikan jumlah maksimum 12 subjek yang boleh diambil.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, keputusan keseluruhan SPM tetap berdasarkan kepada 10 mata pelajaran utama dan tidak mengambil kira dua subjek tambahan.


‘‘Kabinet memutuskan 10 subjek utama kekal tapi kita beri kelonggaran kepada pelajar membuat pilihan sendiri sama ada untuk ambil subjek bahasa atau kesusasteraan Cina dan Tamil.
‘‘Pelajar SPM boleh ambil 11 atau 12 subjek tapi ia tidak akan diambil kira dalam keputusan 10 subjek teras,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ke-65 Majlis Tanah Negara di sini hari ini.

Jun lalu, kerajaan mengumumkan bahawa pelajar SPM hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran bermula tahun depan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menambah, keputusan membenarkan dua mata pelajaran tambahan itu juga tidak akan diambil kira untuk tujuan lain seperti memohon biasiswa.

‘‘Tapi kalau dia (calon SPM) mahu memohon menjadi guru bahasa Tamil sebagai contoh, dia boleh pakai keputusan subjek tambahan itu,'' ujarnya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, maklumat menyeluruh mengenai perkara itu akan diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dalam masa terdekat.

Beliau memberitahu, keputusan Kabinet itu dibuat selepas mengambil kira rayuan pelbagai pihak termasuk Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam baru-baru ini, agar pelajar India dibenarkan mengambil maksimum 12 mata pelajaran dalam SPM.

- UM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan