Isnin, 21 Disember 2009

Enjin pesawat pejuang pun boleh hilang?

Angkasanuri

Saya seringkali melahirkan kebimbangan tentang keselamatan negara dari ancaman luar terutama pintu keluar masuk sempadan negara. Masih ingat lagi kehilangan dua kontena cip komputer dari terminal kargo di Bayan Lepas tidak lama dulu?



Begitu juga dengan rampasan dadah yang beratnya hampir 1 tan di Rompin Pahang. Ini belum termasuk dengan betapa mudahnya pendatang haram membolosi sempadan negara dan begitu bergaya ' mengeksport' motorsikal milik rakyat negara ini untuk digunakan di negara jiran.

Berita terkini enjin jet pejuang F5E milik TUDM bernilai kira-kira RM50 juta daripada Gudang Material Udara I (Matra I), Pangkalan Udara Kuala Lumpur hilang dari sistem kawalan dan keselamatan yang ketat. Kehilangan ini berlaku pada hujung tahun lalu dan dikatakan telah dijual di sebuah negara di Eropah.

Dalam kes ini siasatan menunjukkan ia melibatkan penglibatan orang dalam iaitu pegawai atasan TUDM sendiri. Saya tidak mahu bangkitkan penyelewengan dan pecah amanah yang berlaku.

Tetapi apa yang saya ingin utarakan bagaimana enjin jet yang sebegitu besar boleh 'dieksport'' ke Eropah? Adakah pihak berkuasa di lapangan terbang, pelabuhan dan pintu sempadan tak dapat mengesan enjin yang begitu besar merentasi sempadan negara?

Sejak bila pula Malaysia jadi pengeksport enjin pesawat pejuang?

Jika enjin pesawat pejuang yang begini besar boleh diseludup keluar tidak mustahil banyak lagi aset keselamatan milik negara ini telah dibawa keluar dan jatuh kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru itu satu siasatan rapi perlu dilakukan dan rakyat perlu diberitahu tentang kejadian yang berlaku. Ini kerana ia bukan sahaja berkaitan soal keselamatan tetapi juga berkaitan dengan duit rakyat yang menjadi pembayar cukai terhadap segala harta dan aset milik kerajaan.


Dipetik dari Ruangan "Surat Pembaca" Harakah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan