Jumaat, 11 Disember 2009

Pemimpin Politik dan NGO Jangan Cetuskan Sentimen Agama


Secara umumnya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru agar semua pemimpin politik dan NGO di negara ini agar tidak mencetuskan sentimen yang boleh ditafsirkan sebagai menyentuh sensitiviti mana-mana agama yang tinggal dalam negara kita ini. Kita juga menyeru agar semua pihak menghormati hak dan kebebasan setiap agama yang dijamin dalam Perlembagaan Negara bagi mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat.


PAS menghormati hak umat Islam dan penganut agama lain sesuai dalam Artikel 11, tentang Kebebasan Beragama dalam Pelembagaan Persekutuan. Dan jelas di sana setiap penganut agama, berhak mengurus tadbirkan agama masing-masing tanpa menganggu kepentingan penganut agama lain.

PAS menasihatkan agar semua pemimpin politik dan NGO dapat bertenang dan tidak menjadikan isu ini sebagai alasan untuk menidakkan hak setiap penganut agama di negara ini. Sama ada mereka Islam atau tidak, jika kita ada rasa hormat sebarang masalah boleh diselesaikan.

PAS melihat isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Taiping berkaitan dengan pengagihan dana untuk pembinaan masjid sebenarnya adalah satu dari bukti nyata bahawa kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional selama ini gagal dalam memberikan penjelasan terhadap kaedah yang dilaksanakan dalam isu pemberian dana dan bantuan kepada rakyat pelbagai agama dan kaum dalam negara ini. PAS bertegas bahawa Islam mampu memberikan keadilan pada semua dan menolak sebarang tindakan menzalimi penganut agama lain.

Oleh itu, PAS berharap agar isu mengenai peruntukan terhadap Institusi Islam tidak menjadi bahan pertikaian dan polemik. PAS juga tidak menolak tuntutan penganut agama lain bagi mendapatkan hak mereka secara adil dan kita yakin perkara ini boleh dibincangkan secara bijak dengan mengambil contoh terhadap apa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan PAS di Kelantan selama hampir 20 tahun ini.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan