Sabtu, 12 Disember 2009

SMM ada bukti rakaman BTN ‘berbau perkauman’

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mendedahkan rakaman suara didakwa 'berbau perkauman' bagi mengukuhkan lagi dakwaan kursus Biro Tatanegara (BTN) sememangnya mempunyai unsur-unsur 'doktrinisasi perkauman dan politik'.



Pengerusinya, Shazni Munir Ithnin berkata, SMM mempunyai banyak bukti dalam bentuk rakaman dan akan mendedahkannya kepada umum sedikit masa lagi.

“Kami (SMM) mempunyai banyak rakaman, yang nyata membuktikan bahawa aktiviti dan program dalam BTN sememangnya mempunyai unsur-unsur perkauman dan doktrin politik,” ujar pada satu sidang media semalam..

Sidang media tersebut bagi membantah kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berhubung ketegaran beliau supaya kursus BTN dikekal.

Rakaman tersebut dimaklumkan diambil daripada mahasiswa yang mengikuti BTN sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara dan layak mendapat biasiswa kerajaan.

Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah pimpinan bersama SMM, Hilman Idham yang juga Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan
Abdullah Omar Muhamad Fuad, Presiden Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA).

Kumpulan mahasiswa berkenaan berpendirian tidak menolak sebarang aktiviti bentuk membangunkan semangat patriotisme, nasionalisme dan jati diri khususnya di kalangan mahasiswa dan anak muda namun menolak sekeras-kerasnya “doktrinisasi perkauman dan politik”.

Mereka juga dengan tegas memboikot kursus berkenaan daripada disertai mahasiswa dalam masa yang sama, menggesa kerajaan menarik semula syarat untuk menyertai program BTN bagi pelajar dan mahasiswa yang mendapat tajaan biasiswa pelajaran.

“Kalau berani, dedah sendiri modul, silibus dan program yang ada dalam BTN, tak perlu pihak lain tolong buktikan,” tambah Shazni lagi.

Dalam pada itu, mengulas pertelingkahan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dan Tun Mahathir sehingga tokoh tersebut digelar ‘bapa segala perkauman’, Shazni ada jawapan pendirian tersendiri.

“Saya setuju kenyataan (Tun) Mahathir bahawa UMNO ialah (sebuah) pertubuhan rasis, kalau (Tun) Mahathir jadi ‘Bapa Perkauman’, (Datuk) Nazri jadi ‘Anak Perkauman’, isunya seluruh polisi parti tersebut (bersifat) perkauman,” ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan