Khamis, 10 Disember 2009

Jangan Melampau Memperjuangkan Persamaan Gender

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) meminta pihak yang memperjuangkan hak kebersamaan gender khasnya di kalangan Islam supaya tidak melanggar syariat Islam.

Nasharudin sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi berkata, meskipun statistik indeks jurang gender yang dilaporkan Mantan Menteri berkenaan, datuk Dr. Ng Yen Yen pada tahun lepas menunjukkan pengurangan namun ianya tidak bermaksud pihak yang terlibat memperjuangkan isu berkenaan boleh bertindak secara melampaui batas.


Pada tahun 1980, indeks berkenaan mencatat 0.340 peratus dan turun kepada 0.240 peratus pada 2009.

Beliau juga ingin tahu jumlah kes diskriminasi terhadap wanita yang telah dilaporkan kepada pihak kementerian dan tindakan yang diambil kepada pihak yang melakukan diskriminasi gender.

"Saya difahamkan wanita tidak dibenarkan menjadi juruterbang dalam sistem penerbangan Malaysia.Sedangkan baru-baru ini di LIMA diketengahkan pilot-pilot wanita dan dalam laporan akhbar kita lihat ramai wanita yang sampai kepada peringkat yang tinggi," katanya.

Sebelum itu, Nasharudin meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan peruntukan undang-undang yang akan dikaji untuk mengelakkan wanita daripada didiskriminasikan.

Timbalan Menteri Chew Mei Fun (BN-Senator) dalam jawapannya memberitahu kerajaan sedang dalam tindakan untuk mengkaji undang-undang-undang Akta Kerja 1955, Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan