Selasa, 31 Julai 2012

Abby Abadi jadi ahli PAS, kontrak duta syarikat tudung dibatal


"KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi terkenal, Abby Abadi, menulis dalam laman sosial Twitter dan Facebook yang kontraknya sebagai duta kepada sebuah syarikat tudung baru sahaja ditamatkan kerana penglibatannya dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) seperti yang dilaporkan di sini.

"4 Julai 2012 - Kontrak saya sebagai duta tudung mereka terbatal secara rasminya.

"Saya terima dengan hati terbuka dan saya minta maaf kerana terlibat dengan Pakatan Rakyat," tulisnya di laman Twitter pagi semalam.


Sementara itu, pelakon dan penyanyi terkenal itu yang kini aktif berceramah, ketika ditemui Malaysiakini Jumaat lalu, menyifatkan penyertaannya ke dalam parti itu merupakan sebahagian daripada langkahnya mendekati agama.

Menurut Abby, ia bukanlah satu penghijrahan politik seperti yang dianggap ramai pihak.

"Saya tak pernah terfikir nak guna istilah penghijrahan itu sebab saya terlibat secara tak sengaja," katanya sewaktu ditemui di Shah Alam.

Menurut Abby, perubahan dirinya yang kini bertudung dan mula mendekati agama dilakukan sebelum beliau mula mendekati PAS lagi.

"Hidayah atau penghijrahan ini kita dah dapat semua sebelum masuk PAS," kata Abby.

Abby yang dahulunya merupakan sebahagian daripada kumpulan Elite dan popular dengan siri drama Gerak Khas menjadi ahli PAS seumur hidup pada 19 Julai lalu.

Beliau menyerahkan sendiri borang keahliannya kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, dalam satu majlis di Kota Bharu, Kelantan.

Menurutnya, beliau mula mendekati PAS selepas dijemput parti itu berceramah mengenai perubahan dirinya daripada seorang yang tidak bertudung kepada seorang yang bertudung.

"Saya pada mulanya dijemput untuk berkongsi mengenai hijrah saya itu," kata Abby.

Beliau kemudiannya membuat keputusan menyertai PAS kerana tertarik dengan perjuangannya yang berteraskan agama Islam.

"Kita nampak PAS itu perjuangan dia memang perjuangkan agama. Saya sertailah sebab saya nampak benda itu memang baik untuk agama," kata Abby ringkas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan