Isnin, 12 Mac 2012

PRU13: 200,000 pemilih dimasukkan secara senyap

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Dewan Muslimat PAS Pusat mendesak kerajaan agar memastikan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang benar-benar adil dan telus.


Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, apa yang diragui kini adalah sejumlah 200,000 senarai pemilih yang dakwanya dimasukkan secara senyap-senyap yang terdiri dari pada warga asing.

"Ini meragukan kita, inilah dikatakan ancaman kepada ketulusan yang dijanjikan itu. Ada parlimen peningkatan pengundi lebih 30 peratus, ini pertambahan luar biasa.

"Rakyat dah muak dengan segala penipuan yang kita dah lalui dalam 12 pilihan raya umum sebelum ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang pada sidang media di Pejabat Agung PAS semalam.

Sementara itu, timblannya, Dr Siti Mariah Mahmood pula berkata, jentera muslimat pada ketika ini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU 13.



Katanya, jentera mereka iaitu Halwa telah bergerak aktif di semua kawasan malah sudah mula membuka bilik gerakan.

Halwa katanya akan memberi fokus untuk membantu calon muslimat yang akan bertanding kelak.

"Kami akan bantu semua calon, akan buka bilik gerakan di semua kawasan yang muslimat bertanding," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Mengulas soal calon pula, Dr Mariah memberitahu 30 nama yang dihantar kepada pusat terdiri daripada pelbagai latar belakang dan 50 peratus daripadanya adalah golongan muda.

Jumlah 30 itu juga katanya adalah termasuk semua nama wakil rakyat muslimat sedia ada yang dirasakan masih mampu untuk memberi khidmat berdasarkan laporan kecemerlangan mereka.

Muslimat juga ujarnya mensasarkan bertanding di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kami telah serahkan lebih 30 nama kepada pimpinan tertinggi, kami telah kenal pasti sampai ke peringkat kerusi pun.

"Kita juga telah mendapat persetujuan daripada pesuruhjaya-pesuruhjaya negeri," katanya.

Bawa isu Felda

Sementara itu, Naib Ketua Muslimat PAS Pusat, Mumtaz Md. Nawi berkata, isu penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) antara isu besar yang akan dibawa jentera muslimat kepada rakyat.

Sehubungan itu juga, mereka semalam mengadakan bengkel kepada jentera muslimat bagi memberi kefahaman berhubung isu tersebut.

"Saya percaya kalau isu ini difahami dengan baik, pengundi wanita yang dianggar 51 peratus akan buat kejutan.

“Isu Felda boleh memberi kesan kepada lanskap politik keseluruhan negara kita," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan