KOTA BHARU, 10 Mac: Hampir 3,000 m
asyarakat Kelantan termasuk pelancong menghadiri program ‘Bicara Selebriti’ anjuran kerajaan negeri di Kelantan Trade Centre, malam tadi.
Kehadiran mereka bukan sahaja untuk mendengar kupasan dari ahli panel berhubung ‘hidayah’ di kalangan artis, bagaimanapun untuk melihat ‘Ustazah Ana’ watak Oki Sentiana Dewi dalam filem Ketika Cinta Bertasbih.
Tiga anggota panel telah diundang pada program kali ke-4 itu iaitu peserta Akademi Al-Quran pertama, Sharifah Khasif Fadzilah, Selebriti Dakwah, Hafiz Firdaus Abdullah dan Oki Sentiana Dewi.
Kehadiran peminat Oki khususnya di kalangan wanita membuatkan keadaan agak kurang terkawal dipenghujung majlis apabila mereka ingin melihat Oki lebih dekat.
Bagaimanapun kepantasan anggota Unit Amal dapat mengawal keadaan sehingga Oki berjaya dibawa keluar dari tempat program selepas majlis penyampaian hadiah.
Oki dalam ucapannya mengingatkan anak remaja agar jangan takut untuk berubah ke arah kebaikan kerana Allah sentiasa akan memberi kenikmatan yang amat berharga.
“Pengalaman diri saya yang sebelum ini tidak bertudung, akhirnya Allah permudahkan kerana ianya janji Allah untuk kita,” ujarnya.
Menurutnya, bukan sahaja rezekinya semakin bertambah, namun ibunya yang sakit sebelum itu, akhirnya diberi kesembuhan oleh Allah walaupun terpaksa melalui pelbagai dugaan.
Sementara itu, Kapten Hafiz pula berkata untuk menjadi seorang pendakwah bukan perlu lepasan Al-Azhar atau seumpamanya kerana tidak semua orang akan sampai ke peringkat itu.
Bagaimanapun, tambahnya menegur kesilapan orang lain dengan cara yang lunak juga adalah berdakwah.
“Sebagai umat Islam kita kena berada dalam kerangka dakwah, walaupun peranannya kecil, namun peranan itu wajib diteruskan,” ujarnya.
Majlis penuh ceria dengan kejayaan pengacara TV Hijrah, Amin Idris selaku moderator yang berjaya menghidupkan suasana.
Di akhir program, Oki berkesempatan membaca puisinya yang berjodol ‘Negeri Kelantan Seindah Namamu’ yang mempersembahkan keindahan dan ketenangan sepanjang dua hari beliau berada di negeri ini.
Hadir sama pada program itu ialah pengarah program, Ustaz Baihaqi Atiqullah dan Anggota Dewan Negara, Mumtaz Md Nawi. - HarakahDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan