Khamis, 22 September 2011

DPPNK Cadang Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan Berdiskusi Secara Ilmiah

  1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) kesal dengan kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed seperti yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian, Selasa 20 September 2011 di halaman K4. Beliau di dalam kenyatan tersebut meminta pemimpin PAS memperjelas kenyataan untuk melaksanakan hudud di negeri ini.
  2. Di dalam kenyataan itu juga beliau mempertikaikan seolah-olah PAS sekarang sudah tidak memperjuangkan hudud tetapi lebih kepada negera berkebajikan. Antara lain, kenyataan beliau berbunyi, “PAS kena tanya di mana hudud sekarang, dulu ada Hari Hudud sekarang ada kebajikan, tidak disebut lagi pasal hudud…”
  3. Kenyataan Mustapha selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan itu seolah-olah menunjukkan beliau sangat tidak peka dengan perkembangan semasa yang sedang berlaku di negeri Kelantan. Sedarkah beliau pada hari yang sama kenyataan beliau tersiar di dalam akhbar, Kelantan mengadakan sambutan Hari Hududullah Negeri Kelantan bertempat di Dewan Besar Balai Islam, Lundang? Sedarkah beliau bahawa sambutan Hari Hududullah (yang dahulunya dikenali sebagai Hari Hudud) diadakan setiap tahun selepas Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri?
  4. DPPNK ingin menjelaskan bahawa matlamat untuk melaksanakan undang-undang syariah secara sepenuhnya tidak pernah hilang dari perjuangan PAS. Jika Mustapha sendiri menyatakan bahawa hukum hudud itu hukum Islam, maka soalnya apakah yang UMNO lakukan untuk melaksanakan undang-undang ini dalam masyarakat?
  5. Jika UMNO Kelantan seringkali mengulangi bahawa DAP menolak hudud, maka sedarkah UMNO Kelantan bahawa MCA telah memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan dalam isu larangan terhadap premis judi yang sampai ke hari ini UMNO Kelantan masih membisu seribu bahasa?
  6. DPPNK nasihatkan kepada Datuk Seri Mutapha agar peka dengan perkembangan semasa dan jangan mengeluarkan kenyataan yang menampakkan kejahilan beliau. DPPNK sedia maklum bahawa beliau selaku Menteri banyak berada di Kuala Lumpur, namun semua perkembangan pada hari ini boleh diketahui hanya di hujung jari di era tekologi maklumat. Janganlah insiden bertakbir hari raya pada 3 Syawwal lepas yang berlaku di salah sebuah rumah pemimpin UMNO diulangi yang menampakkan pemimpin UMNO Kelantan sering ketinggalan zaman.
  7. DPPNK juga mencadangkan satu diskusi ilmiah di bawah tema Hudud Dalam Konteks Negara Berkebajikan diadakan jika benar pemimpin UMNO Kelantan mahukan maklumat yang tepat tentang hudud dan negara berkebajikan. Diskusi ini boleh diadakan dengan mempertemukan pemimpin PAS dan UMNO di peringkat yang bersesuaian dan terbuka kepada semua lapisan rakyat untuk menyaksikannya.
  8. DPPNK sifatkan kesediaan pemimpin UMNO untuk menyambut cadangan ini sebagai satu lambang keterbukaan sikap dan kematangan berpolitik ke arah mencari penyelesaian terhadap polemik dan bukannya hanya menghebohkannya di dada-dada akhbar semata-mata. Untuk tujuan tersebut, DPPNK bersedia untuk menawarkan diri sebagai penganjur dan tuan rumah.
Sekian, wassalam.

Yang menjalankan tugas,

Mohd Nuri Mat Yaakub,
Setiausaha,
Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK)
Bertarikh : 21 September 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan