Sabtu, 25 Februari 2012

Bekas Lagenda Bola Sepak Yakin Pas & Pakatan Kuasai Terengganu

Harakahdaily,24 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 24 Feb:Bekas lagenda bola sepak negara, Haji Abdullah Ali yakin, PAS dan Pakatan Rakyat boleh memenangi negeri Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang ini.

(Abdullah Ali bercakap dalam rancangan Persepsi Harakahdaily)

"Dengan saya menyertai PAS, saya boleh membantu untuk memberikan kesedaran khasnya orang baru untuk menyokong PAS," kata beliau dalam wawancara khas dengan Harakahdaily.

Abdullah Ali, bekas pemain bola sepak negara yang terkenal dengan tendangan 'inswinger' dari sudut penalti di lewat 1970an dan awal 1980an dahulu.

Pasukan Malaysia yang disertai beliau pernah layak ke sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980 tetapi tidak berjaya menyertai kejohanan itu kerana Malaysia menarik diri dari menyertai Olimpik Moscow ekoran serangan Rusia ke atas Afghanistan.

Baru-baru ini, Abdullah menyerahkan borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu.

Hari ini Abdullah menyertai wawancara di Harakahdaily untuk rancangan "Persepsi".

Dalam rancangan itu, Abdullah melahirkan keyakinan beliau dengan barisan pimpinan baru PAS Terengganu yang ada mampu mengembalikan negeri itu ke tangan PAS selepas kehilangannya pada pilihan raya 2004.

"Insya Allah kita sama-sama doa dan kerja kuat. Saya juga telah bercakap dengan jawatankuasa PAS Terengganu, kalau ada program saya boleh bantu PAS di Terengganu.

"Insya Allah, kali ini Terengganu akan dimenangi balik oleh Pakatan Rakyat," kata Abdullah.

Ketika ditanya kenapa menyertai PAS, Abdullah berkata, suasana politik sekarang yang ada sangat tidak baik akibat dari sikap Umno sendiri.

"Misalnya skandal NFC yang diberikan pinjaman RM250 juta.

"Begitu juga yang berlaku di sebelah kampung saya, Kampung Surau Haji Mat Zin. Rakyat di sini sangat  miskin. Pemimpin Umno hanya datang semasa pilihan raya membawa lori yang berisi makanan untuk diberikan kepada rakyat.

"Ini cara yang tidak baik sepatutnya kita ikut macam Khalifah Omar Al Khattab yang datang malam-malam melihat rakyat untuk menjaga kebajikan mereka," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan