Isnin, 15 Ogos 2011

Isu Aqidah Ummat : Apa sikap dan Peranan Kita ?


Isu Aqidah Ummat : Apa sikap dan Peranan Kita ?

1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah mengemuka satu kenyataan ketika menjawab soalan lisan daripada Er Teck Hwa [DAP] bahawa Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010. [ Er Teck Hwa meminta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah jumlah yang diluluskan mengikut negeri sepanjang sedekad yang lalu. ]

2. Ertinya aqidah ummat Islam sememangnya berdepan dengan isu yang mesti ditangani oleh seluruh ummat Islam tanpa melihat apa fahaman ideologi politik mereka khasnya mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin. Isu aqidah adalah Isu utama yang melepasi sempadan politik justeru ia berkait masa depan ummah di akhirat kelak.

3. Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mempunyai Front Bertindak Anti Murtad [Forkad] untuk menangani isu pencemaran aqidah khasnya berkait dengan kes murtad dalam negara kita. Insyaallah Forkad akan terus berperanan khasnya operasi pembenterasan usaha memurtadkan ummat Islam dan operasi pemulihan aqidah bagi muslim yang tercemar aqidah dan keliru terhadap pegangan agamanya.

4. Dewan Pemuda PAS Malaysia bersedia memberi kerjasama dengan semua pihak untuk menjadi benteng mempertahankan aqidah ummat Islam. Komitmen ini selaras dengan dasar perjuangan PAS yang tidak pernah berubah. Justeru itu kita sokong JAIS yang bertindak untuk menyelamatkan aqidah ummat Islam dan kita konsisten dalam perkara ini.

5. Namun dalam masa yang sama, JAIS juga mestilah bermuhasabah malah jika jelas JAIS tersalah langkah, mestilah memohon maaf kepada ummat Islam di atas tindakan mereka meroboh, merantai dan menutup rumah Allah seperti yang pernah berlaku pada Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi, Masjid Kampung Berembang di Ampang, Masjid Fatimah az Zahra' Taman Kosas Ampang dan lain - lain. Begitu juga mengenai tangkapan yang dilakukan ke atas penceramah - penceramah hanya kerana kesalahan tidak mempunyai tauliah sedang JAIS boleh mengeluarkan tauliah kepada penceramah tersebut untuk membolehkan mereka berdakwah.

6. Sedang rumah Allah inilah menjadi "port" untuk memantapkan ilmu dan amal ummat Islam serta penceramah - penceramah inilah pula menjadi "agen" untuk menyelamatkan aqidah ummat Islam dari musibah murtad yang melanda negara.

7. Murtad yang berlaku dalam negara kita mempunyai beberapa faktor pendorong yang ketara. Samaada faktor itu kecil atau besar, ianya perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak khasnya pihak berkuasa negara dan juga pihak berkuasa negeri. Zaman ini adalah zaman yang disebut oleh ulamak sebagai zaman "Riddah wa Laa Aba Bakrin Laha" iaitu : Gejala Riddah dan Tiada Abu Bakar Menanganinya"

8. Sejarah Islam telah melakarkan format tindakan Abu Bakar as Siddiq Rha dalam memerangi murtad di hari pertama musibah murtad ini tercetus. Begitu juga di sepanjang zaman khulafa' ar Rasyidin yang mendapat petunjuk daripada Allah swt. Maka kesimpulan yang diambil oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui mesyuaratnya yang berlangsung pada 13 August 2011 ialah :

a ] mendesak Akta Murtad dilulus oleh Parlimen Malaysia dan dilaksanakan dalam negara kita. [ Pada 25 Mac 1988, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi malangnya ditolak. Selepas itu, pada 2 November 1999, Tuan Guru sekali lagi tidak dibenarkan membentang rang undang-undang persendirian untuk mencegah murtad. Demikian juga pada sidang Parlimen yang bermula pada Mac 2006, Yb Salahudin Ayub Ahli Parlimen Kubang Kerian telah mengemukakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Murtad. ]

b ] mengusulkan agar Kementerian Pelajaran mewajibkan silibus pengajian agama sebagai silibus wajib ambil dan wajib lulus dalam semua jenis dan peringkat sijil peperiksaan.

c ] menggesa supaya agensi seperti Pusat Pungutan Zakat, Baitul Maal dan lainnya dapat membuat agihan yang adil dan tepat kepada golongan yang memerlukannya termasuk membantu menaikkan taraf kehidupan mereka.

d ] mencadangkan supaya agensi berikut membiayai atau mengeluarkan peruntukan untuk menghantar pendakwah Islam ke kawasan perlu seperti pendalaman, perkampungan orang asal, Sabah dan Sarawak.

e ] mendesak supaya pihak berkenaan dan berwajib membuat tambahan pegawai agama di semua sektor agar dakwah Islam dapat digerakkan secara sistematik dalam negara kita.

f ] mendesak kerajaan menukar kembali cuti hari Ahad kepada hari Jumaat seperti di negeri Johor dan Perlis sebagai hari kebesaran ummat Islam.

g ] mengekang sebarang aktiviti yang melemahkan iman, akhlak dan pemikiran ummat Islam seperti hiburan keterlaluan, pergaulan bebas dan apa jua aktiviti maksiat dan mungkar.

9. Dewan Pemuda PAS Malaysia juga tidak mahu berlakunya pelanggaran hak non muslim yang telah dipelihara oleh syara' seperti menafikan hak mereka melaksanakan aktiviti agama mereka termasuk melakukan pencerobohan terhadap hak non muslim.

10. Ummat Islam mestilah peka dan sensitif dengan sebarang bentuk aktiviti yang boleh merosakkan nilai aqidah dan keperibadian mereka sebagai seorang muslim. Serentak itu menjadi tanggungjawab setiap individu muslim mendalami agama Islam melalui sumbernya yang betul agar keyakinan atau pegangan agamanya tidak mudah tergugat dan tercemar.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan