Rabu, 10 Ogos 2011

Darjat Mereka Yang Berpuasa


Ramadhan mula beralih dari hari ke hari tanpa menghirau samada kita mampu menghidupkan hari-hari yang telah berlalu atau pun sebaliknya. Kedatangannya kali ini adakah disambut dengan penuh kesyukuran dan dipenuhi dengan pelbagai usaha kebajikan dalam meningkatkan amal ibadat atau pun hanya perut kita sahaja diisi dengan pelbagai juadah yang sedia terhidang setiap kali waktu berbuka.

Adakah kehadirannya buat sekian kalinya dalam hidup kita telah menambahkan keimanan kita kepada Allah dan juga telah menyerap rasa rendah diri serta belas kasihan kepada mereka yang susah atau pun ia tidak lebih daripada menyambut pesta makanan sahaja. Adakah kita telah berusaha dalam memperbaharui segala amalan dalam usaha ke arah mempertingkatkan kualiti ibadat atau pun hanya mementingkan pembaharuan zahir sahaja seperti baju baru, rumah baru dan sebagainya dalam menyambut ketibaan hari raya yang bakal menjelma dipenghujung bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.
Lupakah kita kepada tahap atau pun darjat puasa itu sendiri yang terbahagi kepada 3 iaitu darjat yang paling bawah ialah puasa orang awam yang tidak lebih daripada menahan lapar dan dahaga sahaja sedangkan anggota lain termasuk hati mereka tidak berpuasa kerana masih terikut-ikut kehendak nafsu walau pun iblis dan syaitan telah pun diikat pada bulan yang penuh kemuliaan ini. Mereka tidak dapat mengawal anggota mereka daripada melakukan maksiat kepada Allah seperti mengumpat, berbuat kasar terhadap orang lain, melangkah menuju ke tempat maksiat dan sebagainya.

Kita sebagai seorang muslim yang sejati mestilah cuba meningkatkan darjat puasa kita agar terkeluar daripada puasa diperingkat ini kerana berdasarkan kepada amaran Rasulullah s.a.w di mana sabdanya bahawa ramai di kalangan umatku yang berpuasa tetapi tidak mendapat sesuatu ganjaran melainkan lapar dan dahaga sahaja. Darjat yang kedua dan berada diperingkat pertegahan ialah puasa orang soleh atau dikenali dengan puasa ahli khusus di mana mereka bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi anggota yang lain juga turut berpuasa dengan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Allah dan rasulNya tetapi hati mereka kadang-kadang masih tidak berpuasa kerana terus tersemat masalah keduniaan yang melalaikan.

Puasa darjat inilah yang kita mahu jika kita tidak mampu untuk mencapai puasa bagi darjat yang paling tinggi. Manakala darjat puasa yang paling tinggi dan jarang dikecapi oleh umat Islam ialah puasa segala anggota termasuk hati yang turut berpuasa daripada perkara yang dilarang oleh Allah seperti merasa dendam, marah dan sebagainya daripada sifat mazmumah atau tercela. Puasa ini ialah ada pada golongan ahli makrifah kerana mereka berpuasa hanya untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata. Hitungkanlah perjalanan umur kita yang terus meningkat dari tahun ke tahun. Adakah tahap puasa kita masih lagi berada diperingkat yang sama atau pun sudah berubah ke arah yang lebih baik.
Bagaimana pula dengan kedatangan malam-malam di bulan Ramadhan. Adakah kita mampu menghidupkannya dengan amalan sunat seperti membaca al-Quran, solat Terawih, qiamullail dan sebagainya atau pun kita merasakan waktu malam ini merupakan masa untuk melepaskan geram yang terpaksa ditahan pada waktu siang kerana berpuasa apabila kita menghidupkannya dengan mengumpat, buang masa, tengok perkara maksiat dan sebagainya. Sebenarnya ke manakah kita mahu membawa diri kita samada betul-betul mahu menjadi hamba Allah yang taat seratus peratus atau pun hanya melakukan ibadat sambil lewa untuk melepaskan yang fardhu sahaja sedangkan segala ibadat tadi tidak mampu menjadi pendinding yang boleh menahan kita daripada terjebak dengan perkara maksiat.
Ingatlah dan insafilah bersama bahawa diri kita ini milik Allah. Oleh itu segala pergerakan kita, kerja harian kita, amanah kita, kewajipan kita mestilah ditunaikan selari dengan apa yang telah digariskan oleh Allah. Janganlah kita memisahkan antara ibadat fardhu dengan kerjaya kita kerana semuanya akan jadi ibadat jika kita melakukannya kerana Allah dan ia akan jadi adat atau pun suia-sia jika dilakukan kerana perkara lain. Jangan kita fikir bahawa dosa dan pahala hanya ditulis pada amalan fardhu sahaja sedangkan perjalanan hidup yang lain seperti ketika berkerja dan menjalankan urusan dunia maka dosa dan pahala tidak akan dicatat oleh malaikat Raqib dan 'Atid. Contohilah ulama' silam di mana ketika makan pun masih ingat kepada Allah sehingga mereka merasakan bahawa makanan yang masih dikunyah dan belum ditelah belum tentu rezeki kita lagi kerana ditakuti nyawa kita akan ditarik sebelum makanan tadi ditelan dan dihadamkan dalam perut.
Banyakkan berdoa kepada di bulan ini kerana ia bulan diampun dosa dan dimaqbulkan segala doa. Kebahagian dunia hanya sementara sedangkan apa yang kita kejarkan ialah kebahagiaan yang hakiki di akhirat sana. Ini bukan beerti kita terus meninggalkan perkara keduniaan tetapi kita hendaklah menjadikan nikmat dunia adalah pemangkin untuk digunakan mengikut kehendak Allah dalam mencapai matlamat utama kita iaitu nikmat akhirat. Kita didunia tidak lebih daripada orang yang bermusafir yang sudah pasti akan meninggalkan tempat perhentian ini untuk menuju ke destinasinya yang sebenar. Tepuklah dada tanyalah iman.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan