Pelbagai peraturan telah tersedia untuk kehidupan manusia agar menjadi insan berakhlak mulia.
Sejak bangun tidur sebelum fajar hingga ke waktu tidur semulapada malam berikutnya, setiap detik dilengkapi dengan peraturan dan hukum hakam yang telah ditetapkan oleh agama Islam, untuk mengawal kehidupan manusia agar mereka dalam keredaan Allah SWT.
Makhluk diciptakan berpasangan. Begitu juga tarafsesuatu tempat, ada yang dikategorikan sebagai tempat baik serta mulia. Ada tempat digolongkan sebaliknya, iaitu tempat yang hodoh dan tidak dihormati agama.
Kanan dan kiri mempunyai falsafahnya tersendiri. Islam mensifatkan di kalangan orang yang mendapat keredaan Allah SWT di akhirat dikenali sebagai ‘Ahlul Yamin’ (orang yang mendapat suratan di tangan kanan).
Sementara orang yang gagal mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT, disebut sebagai ‘Ahlus Syimal’ (Orang yang mendapat suratan di tangan kiri).
Nabi s.a.w. menyimpulkan bahawa ‘kanan’ sebagai lambang kebaikan, kejayaan dan keredaan Allah SWT. Sementara kiri pula sebagai lambang kejahatan, kegagalan dan kemurkaan Allah SWT.
Sesuai dengan kedudukan sesuatu tempat, maka sepasang kaki antara kanan dan kiri berperanan mengikut kesesuaiannya.
Tandas suatu tempat yang diperlukan, tetapi ia dianggap hodoh oleh agama, maka kaki kiri selayaknya untuk memulakan langkah masuk ke dalamnya, kaki kanan untuk melangkah keluar darinya.
Bagi tempat yang mulia seperti masjid, mushalla dan sebagainya, semestinya dikehendaki melangkah masuk dengan kaki kanan dan keluar dengan kaki kiri.
Demikian indahnya adab atau akhlak yang ditetapkan oleh syariat Islam, tujuannya untuk membina pekerti manusia walaupun dalam perkara yang kecil seperti qadha hajat.
Meskipun urusan qadha hajat dianggap remeh oleh segolongan manusia, mematuhi adab yang diajar oleh Nabi s.a.w. walaupun di tempat yang hodoh seperti tandas itu, pasti mendatangkan pahala kepada orang-orang beriman yang mentaati perintah Nabi s.a.w.
Tandas meskipun dibina dengan bahan yang mahal seperti marmar, jubin dan sebagainya, ia tidak menukar taraf jadi mulia dengan sebab materialnya yang bernilai tinggi.
Islam tidak menilai sesuatu binaan berdasarkan materialnya, sebaliknya berdasarkan taraf yang ditetapkan dan bersesuaian dengan keperluan manusia.
Masjid meskipun dibina hanya dengan batang pokok tamar dan beratapkan daun serta pelepahnya, sebagaimana masjid yang pertama kali dibina oleh Nabi s.a.w. di Kuba, ia tetap mulia kerana taraf masjid di sisi agama ialah sebagai ‘Rumah Allah.’
Di dalamnya tempat manusia sujud menyembah Allah SWT, serta melakukan pelbagai ibadah, zikrullah dan aktiviti-aktiviti lain dalam kemasyarakatan.
Tandas tetap dianggap tempat yang hodoh kerana di situ tempat manusia terpaksa dedahkan aurat kerana qadha hajat.
Sesungguhnya malaikat tidak berada di tempat manusia membuka auratnya, walaupun dalam situasi terpaksa.
Tandas menjadi tempat hodoh terbukti dengan larangan membawa ke dalamnya benda yang bertulis kalimah Allah dan Rasul-Nya. Jika membawa kalimah Allah ke dalam tandas pun terlarang, apatah lagi menyebut kalimah tersebut.
Justeru itu ketika keluar dari tandas disunatkan mengucapkan ‘Ghufranak’ yang bermaksud; memohon ampun kepada Allah SWT.
Apakah kesalahan dan dosa seseorang itu ketika berada dalam tandas, sehingga sebaik saja keluar lantas dianjurkan segera mohon ampun kepada Allah SWT?
Bagi insan bertakwa duduk dalam situasi terhalang daripada menyebut kalimah Allah SWT (zikrullah), ia adalah suatu pembaziran usia yang amat berharga itu.
Wajarlah baginya mohon ampun kepada Allah SWT, apabila terpaksa mensia-siakan detik usia yang dikurniakan kepadanya.
Wajar ikhtiar agar tidak terlalu lama berada di tempat yang hodoh itu.
Justeru itu Nabi s.a.w. mengajar cara duduk bertinggung dengan memberatkan ke kiri ketika qadha hajat, agar boleh mencepatkan proses keluar najis.
Dengan demikian dapat meringkaskan masa dan menjimatkan usia ketika berada di tandas. Bagi seorang mukmin dapat menunaikan qadha hajat dalam tempoh yang segera, adalah suatu nikmat yang wajar disyukuri.
Justeru sebaik saja seseorang itu keluar tandas mengucap ‘Ghufranak’. Kemudian disusuli dengan ucapan syukur kepada Allah SWT, yang dengan izin-Nya telah mengeluarkan sisa makanan dan minuman yang tersimpan dalam perut, jika tidak keluar pasti akan mendatangkan mudarat kepada diri.
Sebaik saja sisa makanan dalam bentuk najis keluar, ia adalah suatu nikmat yang tidak dapat digambarkan. Lebih besar nikmat qadha hajat itu terutama bagi mereka yang mengalami penyakit sembelit dan sukar membuang najis.
Alhamdulillah syukur kepada Tuhan yang telah menghilangkan penyakit melalui qadha hajat itu, malah telah mengekalkan zat dan pelbagai vitamin terdapat dalam makanan dan minuman, yang diperlukan oleh tubuh badan.
Segala intisari zat dan pelbagai vitamin itu untuk tenaga bagi melaksanakan ibadat sebagai hamba Allah, dan lain-lain kegiatan dan keperluan setiap insan yang berperanan dalam keluarga dan masyarakat.
(Tulisan asal disiarkan dalam ruangan Mauizah Harakah cetak keluaran 1707)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan