Isnin, 12 Disember 2011

Sudah 3 pemimpin BN desak Shahrizat letak jawatan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Sejak pendedahan skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang mengaitkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, sekurang-kurangnya tiga pemimpin besar BN secara terbuka mendesak beliau meletakkan jawatan parti dan kerajaan.

Terbaru, desakan dari Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan yang mahu Shahrizat meletak jawatan sebagai Ketua Wanita Umno dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat.

Ghapur berkata isu yang membabitkan Shahrizat itu cukup memalukan dan telah menjejaskan BN dan Umno secara keseluruhan.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir juga turut memberi isyarat agar Shahrizat melepaskan jawatan demi survival perti politik itu.

Tun Mahathir walaupun tidak secara formal meminta Shahrizat meletak jawatan namun isyarat ‘untuk kebaikan parti’ telah cukup memberi satu jawapan mudah buat Shahrizat untuk meletak jawatannya agar beliau tidak menjadi liabiliti kepada parti.

Seorang lagi Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin antara yang begitu lantang meminta Shahrizat meletak jawatan bahkan beliau berulang kali mendesak Ketua Wanita Umno itu berbuat demikian.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional itu mengaku isu NFC yang membabitkan Shahrizat itu sudah menjadi liabiliti bagi Umno.

Skandal NFC membaitkan sejumlah RM250 juta dana awam yang telah diberikan kepada syarikat milik suami Shahrizat bagi tujuan menjalankan projek penternakan lembu pada tahun 2008.

Bagaimanapun Laporan Ketua Audit Negara 2010 merumuskan projek tersebut berdada dalam keadaan kucar kacir.

Ekoran itu, PKR membuat pendedahan demi pendedahan yang mendakwa telah berlaku penyelewengan terhadap dana tersebut.

Dalam pendedahan mereka, dana RM250 juta itu antara lain telah digunakan untuk tujuan berikut:

- Membeli dua buah Kondominium mewah 'One Menerong' (RM13.8 juta)
- Membiayai Umrah atas nama suami dan anak lelaki (RM31,580)
- Perbelanjaan peribadi (RM26,400)
- Membeli Mercedes Benz CLS350 (RM534,622)
- Membeli dua lot tanah di Putrajaya (RM3.36 juta)
- Percutian mewah (RM455,423)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan