Khamis, 22 Disember 2011

Perang panglima Melayu lawan generasi muda kini makin menarik


Oleh: Inimajalah

"Konflik akibat tindakan seorang pemimpin pemuda Umno yang menggelarkan kumpulan penyokongnya sebagai ‘panglima Melayu’ mengancam mahu menampar serta meludah mahasiswa yang menurunkan gambar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu, kini memasuki babak baru yang menjadikan perang di antara panglima Melayu dengan generasi muda negara ini, makin menarik.

Tinjauan inimajalah.com.my di Internet sejak 24 jam lalu mendapati beberapa klip video baharu mula dihasilkan, dipercayai oleh pengguna Internet daripada kalangan generasi muda negara ini yang amat tidak senang, marah dan meluat dengan perlakuan dan ancaman pemimpin pemuda Umno dan kumpulannya itu.
Pada asalnya, ancaman ‘panglima Melayu’ itu ditujukan kepada mahasiswa yang menurunkan bendera mengandungi gambar Najib. Namun tinjauan inimajalah.com.my di pelbagai blog, forum dan Facebook, mendapati apabila video mengandungi ancaman keras itu mula beredar di Internet dan ditonton ribuan orang, ia menimbulkan kemarahan dan tentangan dalam bentuk sinis dan ejekan oleh bukan sahaja generasi  muda kalangan mahasiswa, malah generasi muda secara umum.
Hanya hiasan. Imej dari blogspot.com.
Ini menjadikan ‘perang’ itu tidak terhad kepada penglima Melayu dan mahasiwa, malah generasi muda keseluruhannya.
Semalam, inimajalah.com.my menyiarkan artikel khas mengenai perkembangan ini. Ia boleh dibaca di sini.
Dipercayai sebagai reaksi balas terhadap ancaman itu, sejak 24 jam lalu, beberapa klip video baharu dikeluarkan pengguna muda Internet dengan kandungannya bernada mempersenda dan mengejek ancaman ‘panglima Melayu’ .
Antara klip video itu bertajuk Panglima Perang Pulak Kena Ludah! dan Perang.
Video terbaharu itu dilihat mempermainkan dan mempersendakan kenyataan pemimpin pemuda Umno peringkat bahagian, Armand Azha dengan cara meniru, menokok tambah dan memperolokkan gaya lelaki itu.
Perang di Internet ini juga berlarutan apabila laman sinis di Facebook turut diwujudkan dengan nama ‘Kami Peminat Setia Bro Gemuk (Kaki Ludah)’.
Laman khas di Facebook menyokong Adam Adli Abd Hamid, iaitu mahasiswa yang didakwa menurunkan bendera Najib, turut diwujudkan dengan nama ‘We are all Adam Adli” (Kami semua Adam Adli) yang mendapat sambutan ramai. Hanya dalam tempoh 24 jam lalu, ia berjaya mengumpul peminat lebih 10,000.
Sebelum ini, Najib dilihat berusaha sedaya upaya mendekati dan ‘menjiwai’ generasi muda negara ini dalam usaha meraih sokongan golongan itu terhadap parti pemerintah.
Namun, berikutan ancaman yang sarat dengan emosi dan kebencian oleh ‘panglima Melayu’, ikhtiar Najib membina ‘jambatan’ lebih baik dengan generasi muda, mungkin akan terencat. – inimajalah.com.my.
"
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan