Isnin, 26 Disember 2011

Mustafa 'kunci mulut' anggap isu Hasan selesai


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Dis: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (kiri) berkata, beliau tidak akan lagi membuat sebarang ulasan berhubung exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali(kanan).

Katanya, beliau akan mengambil pendekatan 'kunci mulut', sesuai dengan janjinya sebelum ini bahawa jika Hasan tidak lagi menyerang PAS, maka dia juga akan berhenti mengulas tentang bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

"Seperti saya janji sebelum ini bila dia (Hasan Ali) berhenti serang PAS maka saya akan tutup mulut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Hasan pada sidang media di kediamannya semalam.

Pada sidang media tersebut, Hasan menyatakan permohonan maafnya kepada pimpinan dan ahli PAS kerana mengkritik konsep Negara Berkebajikan yang telahpun dipersetujui dalam muktamar parti itu Jun lalu.

Hasan juga sebelum ini menyifatkan PAS tergelincir dari perjuangan Negara Islammya apabila memperkenalkan konseb Negara Berkebajikan.

Menyesali pandangannya itu sebagai 'keterlanjuran kata', Hasan juga semalam bertindak menarik balik kritikan tersebut.

"Bagi saya dia dah mintak maaf sungguh-sungguh tu. Pasal dia serang peribadi saya takpe lah saya dah maafkan dia," tegas Mustafa.

Pendekatan Mustafa itu diyakini mampu menutup episod yang dilihat 'pertembungan dalam parti' yang menjadi topik perbincangan hangat sejak dua minggu lalu.

Ditanya jika Hasan tidak mahu berhenti dan masih mahu mengulas isu parti, Mustafa berkata, itu terserah kepada Hasan.

"Kalau dia nak bercakap lagi, biar la dia bercakap sorang, saya tak mahu layan," katanya.

Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat sebelum ini memutuskan akan memanggil Hasan memberi penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.

Selain Hasan, dua lagi yang akan dipanggil adalah bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungip.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan