Sabtu, 24 Disember 2011

Hasan tarik balik kritik negara kebajikan



Bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali hari ini memohon maaf berhubung kritikannya terhadap konsep negara kebajikan yang dianjurkan parti itu dan menarik balik kenyataannya berhubung perkara itu.

Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa pusat, katanya, beliau mengakui terdapat unsur-unsur yang keterlaluan apabila beliau mengulas perkara itu.

“Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran saya waktu membuat ulasan mengenai perkara itu. Dengan ini saya menarik balik komen mengenai Negara Berkebajikan tersebut.


“Saya memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini.
 
Sebelum ini pada satu sidang medianya juga, beliau mendakwa perjuangan PAS sudah menyimpang apabila mengangkat Negara Berkebajikan berbanding Negara Islam sejak sekian lama.

Sehubungan itu beliau menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal menubuhkan sebuah negara Islam.

Mengakui ulasannya sebelum ini sebagai terlanjur kata, Hassan hari ini juga menyatakan pendirian bahawa beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperjuang PAS kerana sebahagian dari initipati dan matlamat ke arah menubuhkan sebuah negara Islam.

“Saya sebagai ahli dan pimpinan, saya menyetujui apa yang dikemukakan dan pada masa sama saya melihat pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan parti sebelum ini.

“Kemungkinan besar sama apa yang ada dalam konteks negara Islam dengan Negara Berkebajikan,” katanya.
Sementara itu, Hasan juga berkata beliau bersedia bertemu kepimpinan parti bila-bila masa bagi merungkai permasalahan yang timbul yang turut mengaitkan dirinya.

Dengan itu, katanya, beliau menarik balik komennya tentang negara kebajikan dan memohon maaf kepada kepimpinan PAS kerana keterlaluannya itu.

Hasan sebelum ini mengecam golongan bukan ulama dalam PAS dan menuduh parti itu telah menyeleweng daripada perjuangan Islam.
Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan