Khamis, 16 Ogos 2012

Royalti Kelantan: LEMBU PUNYA SUSU, SAPI DAPAT NAMA...



KENYATAAN AKHBAR: JAWATANKUASA KHAS KAJIAN PEMBAYARAN BAYARAN TUNAI PETROLEUM

Saya mendarat di KLIA sekitar jam 3 petang ini, pulang dari mengerjakan umrah. Satu dari niat saya mengerjakan umrah ialah untuk mendoakan perjuangan rakyat Kelantan mendapatkan royalti petroleum menjadi kenyataan. 


Setiba di KLIA, saya menerima panggilan dari pemberita memintakan komen mengenai pengumuman PM mengenai penubuhan sebuah jawatankuasa khas mengkaji pembayaran royalti/bayaran tunai petroleum yang akan dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tun Abdul Hamid Mohamad boleh dilihat positif dan juga sebaliknya. 


Saya memohon tempoh untuk meneliti kenyataan PM sepenuhnya sebelum memberikan komen saya. 


Sebelum saya memberikan ulasan selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kerajaan Negeri Kelantan, saya ringkaskan apa yang tertera dari pengumuman PM; 


- Jawatankuasa ini akan membuat kajian dalam tempoh enam bulan 


- Jawatankuasa ini akan mengenal pasti Negeri yang layak menerima pembayaran 


- Jawatankuasa ini akan memutuskan tuntutan Negeri akan ditentukan secara adil, telus dan saksama 


- Bahawa tuntutan Kelantan selama ini dikira tidak terhak kerana pendirian Kerajaan Pusat sebelum ini adalah pengeluaran petroleum di luar 3 batu nautikal tidak menjadi hak Negeri-Negeri 


- Kerajaan Pusat membuat pembayaran wang ihsan dari hasil pengeluaran petroleum di Kelantan di luar 3 batu nautikal melalui JPP 


Jelas, dari intipati kenyataan PM di atas, keadaan masih samar-samar. Ketika ia seakan membawa satu sinar harapan, keadaan sebenar hanya akan ditentukan enam bulan dari sekarang. 


Kini Ogos, jika pilihanraya diadakan dalam tempoh sebelum Jawantakuasa ini membuat laporan dan seterusnya menunggu pertimbangan Kabinet atas rekomendasi Jawatankuasa ini, keputusannya boleh menjadi seribu kemungkinan. 


Ia mungkin berakhir sebagai sebuah latihan akademik semata-mata. 


Adakah penubuhan Jawatankuasa ini hanya sebuah langkah politik menjelang pilihanraya untuk meredakan perasaan rakyat Kelantan dan BN menggunakannya sebagai sebuah 'jambatan' untuk menyeberangi pilihanraya ini dengan selamat, khususnya dalam konteks Kelantan? 


Sehingga ia tidak dilihat tidak melayani harapan rakyat Kelantan dan pada masa yang sama, tidak pula memenuhi tuntutan itu. 


Kenapa enam bulan? Kenapa tidak tiga bulan, umpamanya? 


Kenapa menjelang pilihanraya? Kenapa tidak sebelum ini? 


Tuanku Al Sultan Kelantan telah bertitah dua tahun yang lepas lagi, menerusi titah perasmian sidang DUN Kelantan dan dititahkan sekali lagi sewaktu perasmian DUN juga awal tahun ini, mengenai isu ini. 


Kerajaan Kelantan telah menfailkan saman di Mahkamah Tinggi pada 30 Ogos 2010 lagi. 


Kenapa begitu lama masa yang diambil untuk PM mempertimbangkan penubuhan sebuah jawatankuasa seumpama ini? 


Dalam tempoh tersebut, Kerajaan Pusat telah mencapai persetujuan dengan Kerajaan Terengganu dan Terengganu telah dibayar dengan bayaran tunai sekalipun pengeluaran petroleum di Terengganu juga berada di luar kawasan 3 batu nautikal. 


Kenapa tuntutan Kelantan tidak mengguna pakai penyelesaian dengan Terengganu sahaja? 


Lebih-lebih lagi fakta-fakta dari para penggubal Akta Petroleum telah wujud dengan nyatanya seperti dikemukakan oleh YBM Tengku Razaleigh, Tun Salleh Abbas dan bekas Penasihat Undang-Undang Petronas sendiri, En Nik Mohd Saghir. 


Sekalipun saya mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa ini atas kedudukan sekurang-kurangnya tuntutan Kelantan telah memaksa Jawatankuasa ini ditubuhkan, namun suka saya mencadangkan perkara berikut; 


- Kerajaan Kelantan tidak menarik balik samannya ke atas Petronas yang dijadualkan, satu dari procedingnya akan didengar di Makhamah Persekutuan pada Oktober ini 


- Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat bersidang dan memberikan tawaran yang lebih konkrit terhadap tuntutan Kelantan termasuk pendaratan hasil gas dari perairan Kelantan yang baru memulakan pengeluarannya ke pantai Kelantan. 


Isu ini langsung tidak disentuh dalam kenyataan PM padahal MB Kelantan telah pun menulis surat rasmi kepada PM 


- Tempoh Jwatankuasa ini menyiapkan laporannya dipendekkan kepada tiga bulan 


- Penegasan PM bahawa Jawatankuasa ini ditubuhkan bertujuan membuat pembayaran bayaran tunai kepada Kelantan 


- Penegasan bahawa pembayaran mestilah mengikut metod yang diguna pakai untuk Negeri-Negeri lain yang terlibat 


- Menerima permohonan Kelantan untuk gas didaratkan di Kelantan 


- Membekukan pembayaran wang ihsan 


- pemimpin UMNO yang lantang menyatakan tuntutan Kelantan selama ini adalah khayalan di awangan, pengeluaran petroleum di Kelantan tidak wujud dan Kelantan tidak terhak terhadap sebarang pembayaran tunai, menarik balik kenyataan mereka secara terbuka dan memohon maaf kepada rakyat Kelantan. 


Sekian
Husam Musa
15 Ramadhan 1433
4 Ogos 2012

Ahli Exco Kerajaan Kelantan merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti
Petroleum Kelantan 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan