Sabtu, 4 Ogos 2012

KISAH PENCURI LEMBU : PELIK TAPI BENAR


 
Ada sebuah negeri di zaman dahulu kala yang mengamalkan peraturan yang pelik tetapi diamalkan kerana Tok Demangnya mahukan peraturan di gunakan di negeri tersebut. Negeri itu diberi nama Milisial. Tok Demang itu pula bernama Ehjab Gir.

Di bawah pentadbiran Ehjab Gir ini ramai-ramai memanda-manda menteri ada yang jantan dan ada yang betina. Antara memanda menteri betina ialah Shih Rijit yang rupanya ada iras-iras pelakon pentas negara Andaia bernama Jaha Cilau yang letaknya agak jauh dari Milisial.

Maka ditakdirkan berlaku satu peristiwa di mana sekawan lembu dicuri dan disembunyikan di sebuah desa bernama Gomonchah dalam daerah Tumping. Kalau hendak dikirakan jumlah lembu tersebut puluhan ribu malah mungkin ratusan ribu tetapi yang peliknya entah ke mana perginya lembu-lembu tersebut.

Dengan tidak disangka-sangka, kejadian mencuri lembu itu disedari oleh seorang anak muda Rafaza nama anak muda tersebut. Rafaza ini memang agak dikenali di negeri tersebut kerana dia mempunyai otak yang geliga dan pernah menuntut ilmu sampai ke seberang sungai di negeri yang agak jauh dari Milisial iaitu Unatod Kangdiman.

Sebaik sahaja Rafaza mendapat tahu bukti-bukti bahawa lembu-lembu itu dicuri maka Rafaza melaporkan kejadian itu berserta dengan bukti-bukti yang beliau dapat dari orang yang boleh dipercayai. Laporan Rafaza dibuat di rumah pasong Key Elumpir dan pihak berkuasa berjanji untuk ianya disiasat. Rafaza memberikan bukti bahawa ahli keluarga Shih Rijit terlibat dengan kejadian curi lembu tersebut.

Rafaza juga menunjukkan bukti bagaimana keluarga Shih Rijit memiliki harta yang banyak di mana mereka membeli harta tersebut dengan duit lembu tersebut.

Tidak lama selepas itu pihak berkuasa memberitahu bahawa tiada kes kecurian. Lembu itu pergi sendiri ke Gomonchah Tumpin tanpa di halau atau ditangkap oleh sesiapa pun. Pihak berkuasa berkata lembu-lembu cerdik dan terpelajar malah ada antara lembu-lembu tinggal di rumah-rumah besar yang mewah di beberapa tempat di Key Elumpur dan Sangapooorah jiran Milisial.

Maka Rafaza bersedih sebab beliau memang yakin bahawa kejadian itu berlaku dan banyak bukti-bukti sahih ada diserahkan kepada pihak berkuasa.

Malangnya Rafaza lupa kerana terlalu lama berkelana di Unatod Kangdiman, bahawa di negeri Milisial orang yang mengadu dan membuat tuduhanlah yang akan dihukum dan dipasong manakala yang dituduh melakukan kesalahan akan terlepas dan disanjung pula. Apatah jika orang yang dituduh ada kaitan dengan memanda menteri atau orang besar-besar.

Rakyat negeri Milisial memang sudah lama meluat dan menyampah dengan Ehjab Gir tetapi mereka belum berpeluang untuk menukar pemerintahan negeri tersebut kerana pemilihan pemimpin di negeri tersebut ditangguhkan sehingga ke tarikh yang Ehjab Gir dan isterinya Hamsor Nicnic sahaja yang tahu.

Akhirnya Rafaza yang ditangkap dan dihukum dengan hukuman yang berat. Menangis tidak berlagulah Rafaza ...................

Tiada ulasan:

Catat Ulasan