Oleh KHAIRI MOHAMAD
LALUAN Kelantan kembali cerah selepas mencatat kemenangan sulung 2-1 ke atas Kedah pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Kemenangan tersebut cukup bermakna selepas skuad The Red Warriors tewas mengejut 0-2 kepada Terengganu pada aksi pertama di Kuala Terengganu, Rabu lalu.
Pengendali Kelantan, Bojan Hodak berkata, keputusan positif yang dicatat pasukan itu cukup menggembirakan terutama ketika beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali menang.
Menurutnya, Kelantan nyata menguasai permaianan tersebut dengan melakukan asakan serta mencipta banyak peluang biarpun pasukan itu dilihat agak tempang tanpa beberapa tonggak utama.
"Saya gembira dengan keputusan ini terutamanya dalam tempoh 60 minit pertama kecuali kelalaian kita menyebabkan Kedah berjaya mencipta gol seawal minit kelima. Sepatutnya ia tidak berlaku kerana ini adalah perlawanan kedua.
"Kita melakukan asakan awal dan situasi itu menyebabkan kami agak keletihan pada penghujung perlawanan. Selain itu, kami juga membenarkan lawan menguasai permainan pada 20 minit terakhir tetapi kami mampu menyerap asakan dengan baik," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Tambahnya, selepas berjaya mendahului Kedah pada babak pertama, Kelantan bermain lebih santai dan mengawal perlawanan kecuali beberapa serangan balas pantas untuk memerangkap pemain Kedah.
"Dua perlawanan dalam tempoh tiga hari cukup memenatkan, pemain tidak boleh berlari sepanjang masa, turun dan naik. Selepas ini kita berdepan perlawanan yang cukup penting.
"Kita beraksi tanpa beberapa tonggak, Indra (Putra Mahayuddin) menghadiri perkahwinan adiknya dan ia memang dirancang sejak sekian lama dan saya tidak mempunyai pilihan kecuali memberinya pelepasan.
"Khairul Fahmi juga ada masalah kecederaan termasuk Muhammad Ghaddar dan saya tidak mahu mengambil risiko. Saya memberi mereka rehat untuk pulih sepenuhnya. Namun, keputusan ini cukup baik dan saya gembira menerimanya," ujarnya.
Mengulas mengenai pertembungan dengan ATM, Selasa ini, Hodak cukup optimis pasukannya mampu melakukan sesuatu untuk berada pada kedudukan lebih selepas melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
"Kami akan cuba menang, mereka mempunyai beberapa pemain kebangsaan tetapi kami pasukan yang baik. Mungkin sukar untuk memenangi perlawanan di tempat lawan tetapi kami mampu melakukannya di gelanggang sendiri.
"Saya perlu jujur, sebelum menentang Terengganu kita berdepan masalah besar. Enam atau tujuh pemain tidak beraksi pada perlawanan persahabatan, empat pemain baru kembali dari skuad kebangsaan dan sebahagiannya cedera.
"Saya rasa malam ini (kelmarin) kami beraksi dengan lebih baik berbanding ketika menentang Terengganu dan saya harap aksi kami akan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan