Khamis, 12 April 2012

Nik Sapeia diminta jaga partinya dulu


KETEREH, 12 April:Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menasihatkan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP), negeri Kelantan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof, agar menjaga partinya terlebih dahulu sebelum mengkritik perjuangan parti lain.

Husam berkata demikian ketika mengulas dakwaan Nik Sapeia yang menyifatkan PAS rela meninggal perjuangan Islam semata- mata tertarik dengan sandiwara DAP dan PKR.

“Rakyat negara ini umumnya sudah mengetahui PAS selamanya akan berpegang pada perlembagaan parti yang berlandaskan Islam, kecuali jika Pas meminda perlembagaan.

“Kenyataan Nik Sapeia tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa PAS meninggalkan Islam dan pada saya ia hanya cakap- cakap politik,” katanya.

“Di Kedah, Selangor dan Kelantan, kita adakan program- program berlandaskan Islam.

“Manakala di Kelantan, hari ini, sebanyak RM90 juta setahun diperuntukkan untuk membantu sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan tidak pernah dikurangkan walau satu sen pun, macam mana boleh timbul kita meninggalkan Islam,” katanya lagi.

Menurutnya, apa yang dilakukan PAS termasuk membanteras penyelewengan, memperbetul ketidakadilan dan membela mereka yang tertindas adalah berlandaskan Islam.

“Ini termasuk membela nasib mahasiswa yang ditindas melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), yang kini dikenakan satu peratus berdasarkan sistem Ujrah,” ujarnya.

Husam turut mempertikaikan kewibawaan Nik Sapeia dalam mempersoalkan perjuangan Islam yang dibawa PAS sedangkan beliau sendiri bernaung di bawah parti diterajui bukan Islam.

“Presiden dia sendiri adalah dari mereka yang bukan beragama Islam, jadi macam mana dia nak persoalakan parti orang lain,” ujarnya dengan nada sinis.

Semalam, Nik Sapeia, dalam sebuah akhbar mengatakan PAS sanggup kehilangan Terengganu dalam PRU 12 pada 2008 dengan memilih kerjasama dengan DAP.

Selain itu juga, beliau berkata, hukum hudud yang didraf telah diketepikan oleh PAS dengan memperkenalkan slogan baru iaitu 'Negara Berkebajikan' selepas bersama PKR dan DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan