Rabu, 27 Julai 2011

Melawan Cabaran Nafsu & Syaitan



Syaitan itu akan sentiasa menjadi musuh manusia:

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). Allah berfirman: Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu).

Iblis berkata: Oleh sebab Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."
(7:14-17)

"Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya." (15:39)

Dua dalil di atas menjelaskan kepada kita di mana Syaitan akan menjadi seteru yang sentiasa akan berusaha menghasut anak Adam agar membuat maksiat dan dosa lantas melupakan Tuhan yang mengusai hari pembalasan. Oleh itu, wahai para pemuda, kita perlu tahu bagaimana caranya untuk berhadapan dengan cabaran ini. Berikut adalah saranan Abdullah Naseh Ulwan...

Langkah-langkah melawan Syaitan:

01.Jadikan Syaitan musuh anda

Rujuk ayat al-Quran (35:6)

02.Istiqamah dengan jalan yang lurus

Rujuk ayat al-Quran (6:153)

03.Memohon perlindungan kepada Allah

Rujuk ayat al-Quran (16:98-100)

04.Sentiasa ingat kepada Allah

Rujuk ayat al-Quran (43:36-37

05.Muraqabah

Rujuk ayat al-Quran (7:201)

06.Jauhi orang-orang yang alpa

Rujuk ayat al-Quran (6:68)

Dalam hidup ini, Allah sudah memberi pilihan kepada manusia sama ada mahukan jalan ketakwaan ataupun kekufuran. Oleh itu, terpulang kepada manusia sama ada mahu menjadi orang yang beruntung atau orang yang rugi.

"Kerana keadaan itu tidak mencukupi, (maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)." (76:3)

Bagi orang-orang yang tetap teguh dengan Imannya tatkala godaan nafsu datang menduga, maka bergembiralah dengan janji Allah yang tiada keraguan padanya.

"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya." (79:40-41)

Allah juga sudah menyatakan amarannya kepada orang yang menjadikan nafsu sebagai Tuhannya.

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?" (45:23)

Oleh itu wahai para pemuda, janganlah kita mudah menyerah kalah kepada pujukan nafsu. Buktikan kekuatan hatimu, bukan sekadar tenagamu. Buktikan ia kepada Tuhanmu, bukan sekadar kepada manusia. Dan dengan itu kamu akan menjadi pemuda yang hebat di sisi Allah.

Berikut merupakan saranan Abdullah Naseh Ulwan dalam berhadapan dengan pujukan hawa nafsu...

Cara untuk bebas daripada hawa nafsu:

01.Tingkatkan Iman

Yakin Allah sentiasa melihat, mendengar dan mengetahui apa yang kita lakukan. Ya! mari kita mengamalkan muraqabah.

02.Isi masa dengan perkara berfaedah

Apabila bersendirian ataupun berangan-angan kosong, Syaitan akan mudah menghasut nafsu.

03.Bersahabat dengan orang-orang yang baik

Sahabat akan mempengaruhi diri seseorang.

Artikel iluvislam.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan