GUCHIL – Sumbangan berterusan dihulurkan kepada mangsa kebakaran yang berlaku dekat Guchil 6, Khamis lalu bagi membantu mereka menampung keperluan harian apabila semuanya musnah dalam kejadian yang berlaku kira- kira jam 4.30 pagi itu.
Melalui Tabung Serambi Mekah, Pejabat Jajahan Kuala Krai juga turun padang menghulurkan bantuan kepada semua sembilan mangsa terlibat dekat sini semalam.
Pegawai Jajahan Kuala Krai, Adnan Husin berkata, bantuan di bawah Tabung Serambi Mekah itu adalah bantuan segera untuk semua mangsa terlibat.
“Kami amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa semua mangsa ini dan dengan itu bantuan segera ini diberikan untuk membantu mereka menguruskan segala keperluan masing-masing.
“Semua mangsa menerima bantuan sebanyak RM500 setiap seorang bagi meringankan beban mereka yang kehilangan tempat tinggal dan yang terjejas sumber pendapatannya akibat kebakaran ini,” katanya kepada Sinar Harian sema-lam.
Bantuan itu disampaikan Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Tengku Khairul Anam Tuan Zamri yang mewakili ADUN Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria.
Tengku Khairul berkata, beliau berharap semua mangsa dapat bersabar menghadapi ujian tersebut dan perlu bersyukur sekurang-kurangnya tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
“Saya mewakili ADUN Guchil berharap semua mangsa dapat bersabar menghadapi ujian ini yang menuntut ketabahan hati yang tinggi.
“Dengan sumbangan yang diberikan ini saya harap ia dapat digunakan untuk membeli keperluan segera memandangkan mereka semua kehilangan tempat tinggal dan bagi peniaga pula kehilangan sumber pendapatan mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa, Zainun Hussin berkata, beliau amat berterima kasih kepada Pejabat Tanah Dan Jajahan Kuala Krai dan wakil rakyat yang prihatin turun padang bersama Pe-gawai Jajahan Kuala Krai, Adnan Husin menghulurkan sumbangan kepada mereka.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang tampil memberikan bantuan segera kepada kami yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran yang berlaku.
“Kami pasrah dengan ujian ini dan berharap agar kami dapat mencari tempat tinggal baru dan perlu memulakan hidup baru dengan segera,” katanya.
Hadir sama pada majlis penyampaian sumbangan itu ialah ADUN Manek Urai, Mohd Fauzi Abdul-lah.
Dalam kebakaran kira-kira jam 4.30 Khamis lalu, lima unit rumah kedai, sebuah pasar raya dan dua rumah kediaman musnah yang menyebabkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Daerah Kuala Krai dan Balai Bomba Dan Penyelamat Daerah Machang dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan