Selasa, 6 Mac 2012

Shahrizat serah kepada PM jawatan selaku senator...


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai kedudukan beliau sebagai Senator.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno berkata, terserah kepada Perdana Menteri sama ada melanjutkan tempoh penggal beliau sebagai senator yang akan berakhir bulan depan.

"Semuanya terpulang kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis program kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis julung kali diadakan itu dirasmikan Perdana Menteri dan dihadiri hampir 20,000 orang termasuk 1,627 wakil NGO dari seluruh negara.

Sebuah akhbar berbahasa Cina dilaporkan membuat spekulasi bahawa Shahrizat berkemungkinan tidak dilantik semula sebagai Senator apabila penggalnya berakhir pada 8 April ini.

Shahrizat dilantik sebagai Senator pada 9 April 2009.

Shahrizat terpalit dalam isu National Feedlot Corporation (NFC) yang diterajui suaminya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail, yang terbabit dalam projek lembah daging Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Ia mendapat perhatian selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan beberapa kelemahan projek itu yang bertujuan meningkatkan pengeluaran daging tempatan serta mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Ia semakin panas selepas wujud dakwaan berlaku penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan