Orang Asli tarik balik saman
KOTA BHARU - Seorang dari tiga individu masyarakat Orang Asli menarik balik saman terhadap Kerajaan Negeri yang sebelum ini didakwa memberi hak milik tanah mereka kepada Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.

Penghulu Pos Belatim, Rosli Along, berkata, beliau menarik balik saman tersebut kerana berlaku salah faham terhadap proses melibatkan pengambilan tanah yang di kawasan masyarakat Orang Asli.

“Apa yang berlaku sebelum ini kita diberi maklumat yang salah dari orang luar, saya mohon maaf kepada Kerajaan Negeri, Tok Guru dan ingin menyelesaikan isu ini dengan cara yang baik dan menguntungkan se­mua pihak,” katanya selepas mengada­kan pertemuan dengan Menteri Be­sar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediaman rasminya, di JKR 10, semalam.

Tedahulu, Rosli memfailkan no­tis pemberhentian kes tersebut di Mahkamah Tinggi. Prosiding ter­sebut berlangsung di hadapan Hakim Azman Abdullah. Hakim kemudian menetapkan 20 Mei hadapan bagi mendengar penghujahan pihak plaintif menarik balik saman yang difailkan sebelum ini.

Tahun lepas tiga lelaki Orang Asli dari Pos Belatim memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu ba­gi menghalang kerajaan negeri me­lu­lus tanah kepada Perbadanan La­dang Rakyat untuk dibangunkan ladang.

Dalam permohonan berkenaan, mereka menamakan responden per­tama sebagai Kerajaan Negeri mana­kala Pengarah Tanah dan Galian Ne­geri Kelantan pula responden kedua.

Mereka mempertikaikan kepu­tusan kerajaan dan mahu kerajaan bertindak untuk mewartakan ka­wasan Pos Belatim termasuk tanah yang diteroka itu sebagai tanah rezab mengikut Akta Orang Asli 1954 dan Kanun Tanah Negara 1965.

Rosli berkata, dua lagi saman yang dikemukakan sebelum ini akan bersifat individu kerana beliau me­rupakan penghulu yang mempunyai pengikut.

Beliau bagaimanapun berkata, masyarakat Orang Asli tetap mahu­kan Kerajaan Negeri memberikan hak milik tanah kepada masyarakat tersebut dengan mengadakan run­dingan sewajarnya.

Dalam pada itu, Nik Aziz berkata, Kerajaan Negeri akan membela semua nasib rakyatnya tidak mengira bangsa dan menasihatkan rakyat tidak terpengaruh dengan agenda pihak luar yang berkepentingan.

“Kita bersyukur kerana mereka menarik balik saman, kita akui terdapat hasutan dari pihak luar, mereka jauh (di pendalaman) susah untuk lihat, namun saya berharap sangat mereka memilih berita yang betul,” katanya.