Isnin, 4 Januari 2010

Tok Guru Nik Aziz Ulas Isu Penggunaan Kalimah ALLAH

Nik Aziz bimbang perkataan Allah disalahguna

KOTA BHARU, 3 Jan: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kebimbangan penggunaan perkataan Allah disalahgunakan biarpun tidak salah untuk diguna kesemua agama samawi.


Menteri Besar Kelantan itu melahirkan rasa bimbang kalimah Allah kemungkinan disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata, biar pun penggunaan kalimah Allah mengikut hukum bagi pengamal agama Samawi, ia tidak menjadi satu kesalahan.

“Namun saya takut ia disalahgunakan, itu yang menjadi kebimbangan sebenarnya,” katanya selepas majlis perasmian pejabat Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan di Jalan Telipot, hari ini,

Khamis lalu Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh penerbitan akhbar mingguan Herald – The Catolic weekly.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya memberitahu Herald mempunyai hak pada sisi perlembagaan untuk menggunakan perkataan tersebut.

Ekoran keputusan itu menyebabkan timbul bantahan di kalangan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Baharom pula dilaporkan akan merayu keputusan kes terbabit ke Mahkamah Rayuan bagi memastikan kesucian agama Islam kekal terpelihara.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berharap pihak berwajib seperti persatuan ulama menganjurkan dialog bersama pemimpin agama Kristian bagi mencari penyelesaian isu tersebut.

“Melalui perbincangan terbabit diharap dapat meredakan kekeliruan masyarakat. Selain itu falsafah Islam dapat dikembangkan melalui majlis-majlis seumpama itu,” katanya.

Beliau juga tidak menolak hadir pada majlis seumpama itu sekiranya ada jemputan bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai Islam.

sumber, Harakahdaily

Versi TheMalaysianinsider,

Nik Aziz: Tidak salah bukan Islam guna kalimah Allah


KOTA BARU, Jan 3 – Penggunaan kalimah “Allah” pada penerbitan Herald mengikut hukum pengamal agama Samawi tidak menjadi satu kesalahan, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Cuma beliau bimbang perkataan “Allah” kemungkinan boleh disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

“Tinggal lagi… takut disalahgunakan. Itu yang menjadi kebimbangan,” kata beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan perkataan “Allah” oleh Herald, Khamis lepas.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusan lisannya menegaskan bahawa Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu.

Keputusan itu mencetuskan polemik sejak Khamis lalu dengan ada yang mengadakan protes dan membantahnya.

Malah ada juga pihak yang menyifatkannya sebagai amalan biasa penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah”.

Ketika ditemui pada majlis perasmian pejabat Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Kerajaan Negeri Kelantan dekat sini hari ini, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyarankan agar pihak berwajib seperti badan persatuan ulama menganjurkan dialog bersama pemimpin agama Kristian bagi berunding berhubung isu berkaitan.

“Supaya ia tidak mendatangkan kekeliruan pada masyarakat.

“Bahkan fahaman falsafah Islam itu sendiri dapat diperluaskan melalui majlis-majlis seumpama itu,” katanya.

Menjawab soalan kesediaannya untuk hadir jika majlis seumpama itu dianjurkan, Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata, “saya akan hadir dan sanggup membuat pendedahan mengenainya jika diizinkan.”

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Datuk Mohammad Daud Iraqi semasa dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan.

Sebaliknya seolah-olah beliau menyifatkan kelemahan pihak kerajaan tidak melakukan pemantauan awal berhubung masalah tersebut.

“Isu ni bukan baru, lama dah… sepatutnya kerajaan sejak dari awal lagi boleh mentelaah undang-undang itu secara lebih spesifik,” ujarnya.

Sehubungan itu mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohammad berkata majlis muzakarah fatwa kebangsaan sudah pun membincangkan perkara itu dari sudut akademik sebelum ini.

“Muzakarah itu membincang kalimah ‘Allah’ spesifik untuk kegunaan orang Islam di Malaysia, tetapi tidak melihat dalam konteks negara lain,” katanya.

Bagaimanapun Shukri enggan mengulas lanjut perkara itu memandangkan ia telah menjadi prosiding mahkamah.

“Kita tunggu apa keputusannya kelak. Sebab ia bukan berkahir dengan keputusan itu.

“Difahamkan kerajaan akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

“Prosiding mahkamah penjelasannya ialah melalui mahkamah,” ujarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan