Sabtu, 19 Mei 2012

Kerusi Dun pilihan Salahuddin di Johor

Oleh SH

SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub sudah membuat pilihan kerusi yang hendak ditandingi - peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Setakat ini, saya telah memilih kerusi yang hendak saya tandingi. Saya sudah pun memaklumkan kepada kepimpinan pusat, untuk memenuhi kehendak sokongan akar umbi untuk saya bertanding di Johor, di kerusi Dewan Undangan Negeri,"kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini. 

Salahuddin menambah, buat masa sekarang bertanding kerusi Parlimen adalah pilihan kedua.

"Saya mungkin akan bertanding kerusi Parlimen, tetapi itu hanya jika keadaan memerlukan. Bertanding kerusi Parlimen adalah 'secondary'," kata Salahuddin sambil menambah, beliau mahu membantu gelombang perubahan yang hendak dibawa oleh Pakatan Rakyat (PR) di Johor.

Sementara ketika ditemui di Kuala Terengganu, Salahuddin mengulangi pendiriannya tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian apabila mengesahkan untuk bertanding di negeri kelahirannya di Johor.

Bercakap kepada media di sini, beliau yang yakin sudah mendapat lampu hijau daripada kepimpinan parti untuk bertanding di Johor bersedia untuk bertindak sebagaimana arahan parti.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan kerusi yang akan ditandinginya dan sekadar meletakkan kemungkinan samada bertanding di kerusi Parlimen, Dewan Undangan Negeri atau kedua-duanya sekali.

"Kami (Pas) telah buat keputusan bahawa saya akan bertanding di Johor," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah Pakatan Rakyat di Dataran Pas Kuala Ibai di sini, malam tadi.

Beliau tidak menolak kemungkinan diletakkan di mana-mana kawasan samada Tanjung Piai, Batu Pahat, Muar atau Kulai.

Ditanya peluang kemenangan pembangkang di Johor memandangkan ia dilihat sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN), Salahuddin sebaliknya melihat ia adalah kawasan yang 'subur' dalam usaha pembangkang melakukan perubahan pada PRU13.

Beliau turut bersedia untuk membantu parti berdasarkan pengalaman yang ada di samping memastikan perubahan yang dihasratkan kepimpinan menjadi kenyataan.

Salahuddin merupakan anak kelahiran Kampung Serkat, Johor dan telah bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan pada pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Salahuddin berjaya mengekalkan kerusi yang ditandinginya dalam kedua-dua pilihan raya tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan