Ahad, 8 April 2012

Keputusan Liga Super 7/4/2012


PASUKAN Lions XII dari Singapura terus mengekalkan kedudukan pendahulu Liga Super selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Johor FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam tadi.

Gol tunggal jaringan penyerang Khairul Nizam pada minit ke-42 sudah memadai untuk skuad bimbingan V. Sundramoorthy itu untuk terus mengekalkan kedudukan liga dengan mengutip 30 mata selepas mengharungi 14 perlawanan.

Saingan terdekat mereka, Kelantan hanya mampu mengutip satu mata selepas terikat 1-1 ketika bertemu Sarawak di Stadium Negeri Sarawak di Kuching.

Pasukan tuan rumah bagaimanapun terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import mereka dari Cameroon, Guy Bwele pada minit ke-12 sebelum pemain tengah skuad Kijang, Mohd Nor Farhan Muhammad menyamakan kedudukan pada minit ke-85.

Selangor pula kembali menemui sentuhan berbisa mereka selepas membelasah Terengganu, 6-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Skuad Penyu terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi Ismail Faruqi selepas menerima hantaran silang daripada Ashaari Samsudin.

Tersentak dengan gol itu, gergasi Merah kembali mengatur strategi permainan dan hasilnya, penyerang import mereka dari Croatia, Bosko Balaban menyamakan kedudukan pada minit ke-25 menerusi sepakan kencang dalam kotak penalti.

Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu terus mengganas dengan menghasilkan lima lagi gol menerusi K. Soley (minit ke-36), Mohd Amri Yahyah (minit ke-38 dan ke-81), Mohd Safiq Rahim (minit ke-46) dan Famirul Asraf Sayuti (minit ke-87).

Felda United dan Perak turut mengikuti jejak langkah Selangor selepas menumpaskan lawan masing-masing di laman sendiri pada perlawanan malam tadi.

Felda United menumpaskan Kedah, 2-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka menerusi jaringan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-50 dan pemain importnya Mickael Antoine Curier pada minit ke-83.

Perak pula mencatatkan kemenangan tipis, 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Perak, Ipoh dengan dua jaringan skuad Seladang dijaringkan oleh Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke-40 dan Mohd Rafiuddin Roddin pada minit ke-64 sebelum pemain import pelawat Emmanuel Okine mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-90.

Negeri Sembilan pula hanya mampu mencatatkan keputusan seri, 2-2 ketika bertemu Sabah di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Skuad Rusa membuka tirai jaringan pada minit ke-51 menerusi pemain importnya dari Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona sebelum kapten pasukan, Mohd Shukor Adan menggandakan jaringan enam minit kemudian.

Sabah bagaimanapun bangkit untuk mengikat kedudukan menerusi jaringan Shahrudin Yakup pada minit ke-74 dan Ronny Harun tiga minit kemudian. - Bernama



FELDA UTD 2 : 0 KEDAH

N.SEMBILAN 2 : 2 SABAH

SARAWAK 1 : 1 KELANTAN

PERAK 2 : 1 K.LUMPUR

JOHOR FC 0 : 1 LION XII2

SELANGOR 6 : 1 TERENGGANU

T-TEAM 1 : 4 PKNS FC 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan