Subscribe to our newsletter

Annuar Musa ditimpa malang lagi

Ahad, 15 April 2012

Aslani M,15 Apr 2012

KETEREH, 15 April: Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (gambar) mungkin ditimpa malang lagi selepas digantung dua tahun setengah terbabit dengan aktiviti bola sepak, malam tadi pula 50 orang pengikutnya mengisytiharkan keluar parti.

Lebih mendebarkan lagi apabila empat daripadanya merupakan penghulu Umno (Penyelia Pembangunan Mukim - PPM) dari empat mukim di Ketereh yang diketuai bekas PPM Lancang, Rafia Jusoh, 67.

Tiga lagi iaitu Sanusi Jaya (PPM Buluh Poh), Zakaria Awang Lah (PPM Kayu Rendang) dan Ismail Jaffar (PPM  Chegar). Selain itu Ketua Pemuda Umno Cawangan Lancang, Abdul Rahman Abdul Rahim.



Rafia yang lebih dikenali sebagai Paksu Ya menyerah borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada program ceramah yang diadakan di perkarangan rumahnya di Kampung Durian Pahit.

Ribuan hadir mengikut ceramah tersebut terpaksa bersila dalam kebun pokok dokong dan bendang kontang memandangkan perkarangan rumah Paksu Ya agak sempit.

Manakala kenderaan diletak sejauh hampir satu kilometer dan terpaksa berjalan kaki melintasi bendang padi jauh sayup mata memandang.

Paksu Ya yang dilantik sebagai penghulu kerajaan negeri ketika Kelantan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), kemudian dilantik pula  sebagai PPM selepas PAS mentadbir Kelantan pada 1990.

Jawatan disandangnya sehingga 2010 apabila tidak disambung lagi perkhidmatannya dan tempatnya diganti Ketua Cawangan Umno Kampung Durian Pahit.

Katanya, beliau sudah lama melihat rakyat terutamanya petani didera pemimpin Umno apabila cuba menyukarkan mereka mendapat bantuan di bawah kerajaan pusat.

“Paksu masih ingat baja cap dacing tidak diberi kepada penyokong PAS. PPM tidak mahu menandatangani borang permohonan milik mereka.

“Namun apabila datang ke sini Paksu tak kira terus tandatangan borang mereka tanpa mengira  penyokong PAS atau Umno. Paksu kasihan melihat mereka datang dari jauh kerana PPM di kampung mereka enggan menurunkan tanda tangan,” katanya ketika ditemui selepas ceramah tersebut.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, Yang Dipertua PAS Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh, anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir, Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood dan Ketua Penerangan PAS Ketereh, Abdul Manaf Abdullah.

Paksu Ya juga memberitahu beliau tidak sanggup lagi bersekongkol dengan pemimpin Umno apabila menggunakan setiap peluang projek kerajaan mendapatkan keuntungan peribadi.

“Kalau ada projek mesti dalam komisen. Makan projek kuat sangat di kalangan pemimpin Umno,”  ujarnya.

Beliau juga meluahkan rasa terkilan apabila dua anaknya yang cacat penglihatan sejak berusia 12 tahun tidak mendapat sebarang pembelaan pemimpin Umno biar pun acap kali memberitahu akan membantu.

Katanya, dua anaknya itu sekarang masing-masing berusia 36 dan 33 tahun tidak mendapat sebarang bantuan dan hanya awal tahun ini mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas dibantu kerajaan negeri.

Beliau juga memberitahu akan mengumpulkan lebih ramai lagi ahli dan penyokong Umno bagi menyertai PAS menjelang pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

(Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contact info

Archives

Banner4

Banner4

Banner2

Banner2